Sanusi tandus idea, moral politik – Muhammad Kamil

Sanusi tandus idea, moral politik

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah ketandusan idea dan moral politik apabila sekali lagi cuba mengalih fakta sejarah, memfitnah dan melakukan serangan peribadi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Muin berkata, ucapan Menteri Besar Kedah itu dalam satu ceramah di Selangor baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa beliau ketandusan idea dan moral politik.

“Percubaan sekali lagi untuk mengalih fakta sejarah dan fitnah berbentuk serangan peri­badi terhadap Perdana Menteri adalah bukti Sanusi tidak layak untuk jadi pemimpin yang sepatutnya mempamer nilai akhlak dan moral yang tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tindakan penafian dan penyelewengan fakta dan saranan Yang di-Pertuan Agong dalam pembentukan kerajaan perpaduan hari ini serta singgungan terhadap pelantikan Menteri Besar Selangor adalah merupakan penderhakaan nyata terhadap kedaulatan institusi diraja dan raja-raja Melayu,” katanya dalam kenya­taan, semalam.

Muhammad Kamil berkata, fitnah yang dilemparkan terhadap Perdana Menteri di khala­yak umum tanpa segan silu jauh tersasar dari akhlak Islam yang sepatutnya dijelmakan oleh pemimpin parti yang memperjuangkan dasar Islam.

“Apakah kenyataan berunsur fitnah dan penghinaan kini sudah menjadi modal utama Sanusi untuk terus meraih sokongan politik murahan?

“Saya menyeru masyarakat untuk menilai dengan bijaksana. Negara tidak perlukan pemimpin yang sering bercakap dengan nada yang tidak siuman dan tanpa akhlak yang baik, sebaliknya mengangkat budaya politik idea dan moral yang tinggi,” katanya.

Muhammad Sanusi dalam ceramah di program Jelajah Selangor malam kelmarin dikatakan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memandai-mandai dan menggunakan titah Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Dalam ceramah itu, Muhammad Sanusi dikatakan turut menghina Sultan Selangor atas pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, selain beberapa serangan peribadi terhadap beberapa menteri.

Dalam ucapan Sanusi yang tular sejak semalam, pemimpin Pas itu dipaparkan seolah-olah menyentuh isu perkenan Sultan Selangor berkait pelantikan Menteri Besar ‘cokia’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini