PASIR PUTEH: Sekumpulan peminat pesawat kawalan jauh sanggup menyewa sebuah bas dan meredah perjalanan sejauh 633 kilometer dari Johor Bahru ke Kampung Gong Kubur di sini, semata-mata mahu melepaskan ‘gian’ bermain pesawat itu di anjuran Tok Bali RC Club semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia wakil kumpulan itu, Mahsuri Hashim, 64, berkata, kepenatan mengharungi perjalanan jauh itu terbalas apabila dapat mengemudi pesawat kawalan jauh bersama rakan-rakan yang datang dari seluruh pelosok negara.
“Kami datang ke sini dengan bas semata-mata mahu melepaskan gian, selain mengasah kemahiran sedia ada dalam mengendalikan pesawat.
“Pada masa sama, kami jadikan pertemuan ini sebagai medan untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pesawat ringan,” katanya ketika ditemui semalam.
Bagi, Zulkifli Sidik, 57, dari Kuala Terengganu, penganjuran program ini dapat merapatkan lagi hubungan dalam kalangan peminat sukan ini.
Katanya, setiap kali penganjuran ini berlangsung dia akan hadir untuk memberikan sokongan bagi memastikan aktiviti bermain pesawat kawalan jauh ini terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
“Pada mulanya ia sekadar hobi, namun minat mendalam mendorong saya untuk menghasilkan pesawat buatan sendiri menggunakan polistirena yang dilengkapi dengan peralatan elektronik,” ujarnya.
Sementara itu, pengerusi penganjur Tok Bali RC Club, Muhamad Zamri Ibrahim berkata, lebih 150 peserta menyertai program tersebut yang menampilkan pelbagai jenis pesawat yang direka sendiri.
Katanya, sebanyak 10 buah khemah telah disediakan untuk menempatkan pelbagai saiz pesawat termasuk yang dibeli daripada kedai.
“Ia adalah kesinambungan Karnival Sukan Udara Kelantan yang dianjurkan pada tahun lalu. Ini merupakan salah satu usaha untuk mendapatkan perkenan bagi mengadakan pertunjukan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan pada tahun depan.
“Penganjuran kali ini turut melibatkan perkongsian ilmu dunia robotik dan elektronik kepada pelajar sekolah dalam usaha memupuk kreativiti anak muda untuk menghasilkan ciptaan serta pengendalian mesin kawalan jauh. Ini termasuk mendedahkan penggunaan dron mengikut cara yang betul,” ujarnya. – UTUSAN










