PETALING JAYA: Dianggarkan 97 peratus atau kira-kira 1.08 juta daripada 1.2 juta pekerja ekonomi gig tidak mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun kerajaan memperkenalkan Insentif Persaraan menerusi skim i-Saraan.
Ini bermakna hampir semua pekerja ekonomi gig dengan 80 peratus membabitkan anak muda berisiko tiada simpanan minimum RM240,000 bagi menampung perbelanjaan selepas mereka mencapai usia 55 tahun.
Menerusi i-Saraan. KWSP menggalakkan individu yang bekerja sendiri atau tiada kerja tetap mencarum secara sukarela dan kerajaan akan memberi tambahan 15 peratus daripada jumlah caruman pencarum dengan had maksimum RM300 setahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, kemudahan i-Saraan terutama kepada pekerja ekonomi gig dilihat seperti melepaskan batuk di tangga apabila ia cuma melibatkan caruman daripada pencarum manakala tiada sumbangan daripada operator.
Menurut beliau, tekanan ekonomi ketika ini turut menjadi faktor pekerja gig tiada lebihan wang untuk disimpan apatah lagi untuk dicarum dalam KWSP yang tidak boleh dikeluarkan
walaupun mereka dalam keadaan terdesak.
“Majoriti sektor e-hailing berumur 35 hingga 55 tahun, manakala kebanyakan penghantar pula terdiri daripada belia di bawah 30 tahun. Tahap kesedaran pekerja sektor tidak formal untuk mencarum sendiri amat kurang…tidak sampai tiga peratus pun yang mencarum i-Saraan. Malah, boleh dikatakan 80 peratus golongan belia tidak ada kesedaran tentang inisiatif itu.
CARUMAN
“Apabila kami buat survey (tinjauan), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang sudah diwajibkan pun cuma 50 peratus sahaja yang mencarum, manakala majoriti tidak mencarum untuk i-Saraan.
“Ada yang kata tidak tahu dan ada yang kata sebab tekanan taraf hidup meningkat, jadi tidak ada lebihan langsung untuk menyimpan lagi pula nak simpan dalam tempat yang susah mereka keluarkan, itu yang ramai tidak boleh beri komitmen,” kata beliau ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, sejumlah 70 peratus daripada 8.7 juta ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi menampung perbelanjaan selepas mereka bersara.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, minimum simpanan yang diperlukan untuk hidup dalam tempoh 20 tahun selepas bersara dengan anggaran perbelanjaan RM1,000 sebulan adalah RM240,000.
Namun kata Amir Hamzah, setakat Mei lalu hanya 30 peratus pencarum KWSP yang mencapai simpanan asas mengikut umur 55 tahun iaitu RM240,000.
MEKANISME
Mengulas lanjut, Jose Rizal berkata, GEM menuntut kerajaan mengeluarkan satu mekanisme menyeluruh untuk mewajibkan caruman melalui inisiatif i-Saraan.
Menurut beliau, langkah itu penting untuk membantu pekerja gig dalam tempoh jangka masa panjang apabila mereka sudah tidak lagi bekerja.
“Cara itu bukan setakat menyuruh orang bekerja sendiri, tetapi kena ada kebertanggungjawaban bersama daripada kerajaan dan pihak operator kepada pekerja ekonomi gig, tetapi macam mana keperluan semua, itu boleh dibicang secara terperinci nanti,” kata beliau.
Selain itu, kata Jose Rizal, inisiatif i-Saraan perlu dipertimbangkan untuk mempunyai lebih banyak kelonggaran berbanding peraturan yang dikenakan kepada pekerja sektor formal.
“KWSP perlu ada mekanisme agak berbeza supaya pekerja tidak formal ada sedikit kelonggaran untuk keluarkan wang bila mereka sangat memerlukan.
“Perlu ada fleksibiliti dari segi caruman untuk hari tua dan pengeluaran semasa cemas, semua ini penting sebab pendapatan pekerja tidak formal tidak tetap.
“Bagi kita apa yang Perkeso buat (mempunyai akta lain bagi pekerja sendiri iaitu Akta 789) adalah langkah ke hadapan, jadi pendekatan sama kita mahu agensi berkaitan dengan pekerja tidak formal.
“Sebab kita kena berubah melalui peredaran zaman menyantuni ekonomi baharu dengan cara baru,” katanya.
Sementara itu, berhubung penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), Jose Rizal berkata, pihaknya ketika ini sedang merancang untuk mengadakan satu persidangan pada bulan ini.
“Esok (hari ini) akan ada libat urus untuk merancang ke arah persidangan. Setakat ini sudah ada kementerian menawarkan untuk carry.
“Jadi kita sekarang masih di peringkat susun atur untuk wujudkan akta proses penubuhan suruhanjaya itu dan perkara lain masih belum berbangkit,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan Amanat Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 sebelum ini, mengesyorkan penubuhan SEGiM bagi mengawal selia ekosistem industri gig serta menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi itu bermula dari peringkat penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna. – UTUSAN










