BACHOK : Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham bapanya Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru bukan untuk menjadi calon wakil rakyat.
Nik Mohamad Abduh atau Nik Abduh berkata, legasi sebenar Tok Guru adalah mempertahankan perjuangan Islam dan kerajaan negeri Kelantan.
“Itu legasi sebenar Tok Guru… kena fahamkan elok-elok. Oleh itu, jika nama saya tidak diangkat sebagai calon pada pilihan raya… ia bukan cubaan untuk memadamkan legasi Tok Guru,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Ceramah Ppkat Pertahan Kelantan: Pas Pilihanku di Kompleks Pengajian Islam, Badak, di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas dakwaan mengatakan terdapat percubaan untuk memadamkan legasi bekas Menteri Besar Kelantan itu.
Nik Abduh memberitahu, beliau menyerahkan sebulat-bulatnya kepada pimpinan sama ada untuk mengangkat namanya sebagai calon Pas pada pilihan raya negeri (PRN) nanti atau sebaliknya.
Katanya, menjadi calon bukan satu keutamaan buat dirinya buat masa ini kerana telah menyatakan tiada keperluan untuk beliau bertanding pada pilihan raya sebelum ini.
“Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga sudah cakap… tunggu hari penamaan calon. Yang penting saya kekal istiqamah dalam perjuangan dan akan bersama-sama jentera Pas serta PN dalam kempen PRN kali ini.
“Saya sendiri tidak pasti nama saya naik sebagai calon atau tidak kerana tidak dimaklumkan apa-apa mengenainya. Saya terima apa sahaja keputusan. Sebagai ahli Pas, saya kekal patuh kepada setiap keputusan kepimpinan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Nik Abduh mendedahkan tidak menerima ‘lamaran’ daripada Pas atau mana-mana parti politik untuk menjadi calon pada PRN nanti.
Anak bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, tiada keperluan untuk beliau bertanding pada PRN nanti berikutan wakil-wakil rakyat yang ada pada ketika ini sudah menunjukkan prestasi yang baik.-UTUSAN










