PETALING JAYA: Jika anda mempunyai hartanah sendiri, jangan lupa dengan tanggungjawab anda kepada kerajaan negeri masing-masing untuk membuat bayaran cukai tanah pada tempoh dan tarikh yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan dikenakan.
Kegagalan untuk membayar cukai tanah akan menyebabkan kerajaan negeri berhak untuk merampas hartanah yang dimiliki selain mengenakan denda tunggakkan sebagai tambahan kepada cukai tanah itu.
Bagi pemilik hartanah baharu, semakan cukai tanah wajar dilakukan secara berkala bagi memastikan maklumat anda sebagai pemilik hartanah baharu telah dikemas kini.

Pemilik hartanah, Nurain Fatima Amran, 36, berkongsi pengalamannya ketika membuat bayaran cukai tanah selepas membeli rumah pada 2016.
“Setelah selesai urusan pembelian rumah, selama lima tahun, saya tidak pernah menerima apa-apa bil cukai tanah.
“Sehinggalah pada awal tahun lepas, saya terdetik untuk membuat semakan dan mendapati cukai tanah telah tertunggak sehingga RM500.
“Saya terus membuat bayaran dan mengemas kini maklumat harta. Punca saya tidak menerima bil cukai tanah sebelum ini adalah disebabkan alamat kediaman saya sebagai pemilik baharu rumah tersebut tidak dikemas kini selepas urusan pertukaran hak milik sebelumnya selesai.
“Jadi, kepada pembeli-pembeli rumah atau hartanah yang lain, pastikan maklumat anda sebagai pemilik baharu telah dikemas kini. Jadikan juga amalan untuk memeriksa cukai ke atas hartanah anda secara berkala.
“Terkini, semua cukai tanah boleh disemak melalui atas talian dan tiada lagi penghantaran bil fizikal. Mudah untuk kita membuat semakan dan mengemas kini maklumat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi Mohd. Jiman Kasmin, 41, pula, bayaran cukai hartanah perlu dijaga bagi mengelakkan hartanah dirampas kerana nilai kos untuk mengambil kembali pemilikan jauh lebih tinggi daripada nilai cukai dan denda yang dikenakan.
“Sebelum ini, saya ingin membeli sebuah rumah terbiar di Negeri Sembilan. Rumah yang telah sekian lama ditinggalkan ini memang mempunyai tunggakan cukai yang tinggi yang tidak dibayar.
“Hak pemilikan rumah tersebut akhirnya dilucutkan daripada pemilik dan dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.
Jelasnya, sebelum urusan jual beli dapat diteruskan, pemilik perlu membuat permohonan untuk memiliki semula tanah dan rumah yang telah dirampas.
Sementara itu, jurucakap Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) memberitahu, sikap pemilik hartanah yang tidak mahu bekerjasama membayar cukai taksiran tertunggak memaksa PBT itu mengeluarkan waran tahanan dan menyita harta mereka.
Setakat ini, katanya, kutipan tertinggi semasa operasi dijalankan berjumlah RM176,765.40 melibatkan lebih 380 akaun.
“Sekiranya pemilik tidak membayar cukai taksiran pada atau sebelum 28 atau 29 Februari dan 31 Ogos setiap tahun, caj denda lewat sebanyak RM20 akan dikenakan melalui penghantaran Notis (Borang E).
“Pemilik mempunyai tempoh 15 hari untuk menjelaskan bayaran. Sekiranya tempoh 15 hari telah tamat, melalui seksyen 148, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), MBPJ boleh mengeluarkan Waran Tahanan dalam Borang F dan boleh menyita apa-apa harta alih kepunyaan pemilik tersebut.
“Pemilik yang tiada di premis, notis peringatan akan ditampal di pintu premis. MBPJ tidak akan menyita barang sekiranya pemilik berunding untuk menjelaskan bayaran tunggakan cukai taksiran secara ansuran.
“Sekiranya barang disita, pemilik diberi masa tujuh hari untuk menjelaskan tunggakan cukai taksiran sebelum harta sitaan dilelong,” jelas beliau. – UTUSAN










