PETALING JAYA: “Setiap hari, sejak November tahun lalu, tidakkurang 15 orang datang jumpa, buat aduan, minta selesaikan masalah rumah nak kena lelong, susah nak bayar pinjaman”.
Demikian pendedahan Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam (4PM) mengenai
aduan daripada peminjam perumahan susulan kenaikan demi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Terbaharu pada Mei lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM membuat keputusan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.
Kenaikan tersebut adalah kali kelima bermula Mei, Julai, September dan November pada tahun lalu sebelum dikekalkan kepada 2.75 peratus pada mesyuarat pertama 2023 MPC Januari
lalu dan sekali lagi kekal pada Mac lalu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden 4PM, Rosland Mohd. Arif berkata, kerajaan perlu tahu bahawa rakyat sedang terjejas teruk akibat kenaikan OPR, seumpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ dengan rakyat yang sudah susah, disusahkan lagi kerana terkesan dengan kenaikan tersebut.
Menurut beliau, peratusan OPR yang terus membebankan turut menyebabkan ramai
daripada mereka mengalami masalah tekanan perasaan, bergaduh, bercerai dan sebagainya.
“Kenaikan OPR sangat melampau kerana kerajaan tidak pernah fikirkan bagaimana kesengsaraan rakyat apabila berdepan dengan masalah kewangan sehingga rumah terpaksa dilelong dan ada yang diisytiharkan muflis.
“Individu yang mengalami masalah pembayaran pinjaman rumah menjadikan mereka alami tekanan perasaan sehingga ada yang mengabaikan keluarga, kerja selain turut menjejaskan kesihatan mental mereka,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
KESUSAHAN
Rosland berkata, setiap hari tidak kurang 15 orang yang berjumpa dengannya untuk menyelesaikan isu rumah yang akan dilelong serta bercerita mengenai kesusahan membayar pinjaman perumahan yang meningkat.
“Mereka yang mengalami masalah ini sebenarnya bukan tidak mampu nak bayar bulanan tetapi ini terjadi kerana kenaikan OPR menjejaskan perbelanjaan bulanan dan seharian seseorang individu.
“Sebelum ini gaji mereka cukup untuk membayar rumah, bayar kereta dan belanja bulanan, tapi selepas BNM menaikkan kadar OPR semua perbelanjaan menjadi kucar-kacir sehingga menyebabkan tertangguhnya pembayaran pinjaman perumahan,” katanya.
Oleh itu, kata beliau, kerajaan perlu fikirkan inisiatif lain supaya OPR tidak berterusan membebankan peminjam terutama pinjaman perumahan yang membabitkan jumlah bayaran besar berbanding pinjaman lain.
“Kerajaan juga perlu fikir apa tujuan OPR dinaikkan dan pihak mana yang mendapat untung serta pihak mana yang merana menanggung bebanan ini.
“Kerajaan perlu ada rasa simpati dan bertanggungjawab serta perlu berada di tempat rakyat yang menanggung beban dan cuba selami masalah akibat kenaikan OPR,” katanya.
Tinjauan kalendar MPC mengenai OPR, jawatankuasa itu akan bermesyuarat untuk kali keempat bagi tahun ini pada 5 dan 6 Julai ini.
Ini merupakan ‘tugas’ pertama Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkaitan OPR selepas dilantik sebagai Gabenor BNM baharu yang berkuat kuasa 1 Julai.
Abdul Rasheed sebelum ini Timbalan Gabenor BNM dan mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus. – UTUSAN










