ANTARA insan yang mulia adalah sahabat Nabi SAW bernama Abu Dzar r.h. Dalam satu riwayat hadis, Abu Dzar meminta jawatan kepimpinan daripada Nabi SAW, namun Rasulullah tidak memberikannya.
Sabda Nabi SAW terhadap Abu Dzar bermaksud: “Engkau adalah insan yang lemah. Sesungguhnya ia (kepimpinan) adalah amanah.
Sesungguhnya ia pada hari kiamat adalah penyesalan melainkan jika insan mengambilnya dengan haknya dan menunaikannya dengan sebaiknya.”
Riwayat hadis ini tidak bertujuan merendahkan seorang sahabat Nabi iaitu Sayyidina Abu Dzar r.h. Riwayat hadis ini menunjukkan kejujuran dan sikap integriti Nabi SAW yang sangat tinggi sehingga tidak melantik insan yang tidak layak untuk jawatan walaupun dia adalah sahabat baik Rasulullah sendiri.
Riwayat hadis ini menunjukkan kepimpinan perlu kepada dua sifat utama, iaitu kekuatan dan amanah integriti. Contohnya, kuat dalam sudut intelek, watak dan membuat keputusan. Kuat dalam maksud tidak gopoh membuat keputusan. Amanah integriti pula menggambarkan sikap jujur, tidak rasuah, tidak berdusta, tidak membuat janji palsu dan sebagainya. Insan yang kuat tetapi tidak integriti adalah tidak layak. Insan yang berintegriti tetapi lemah adalah tidak layak. Apatah lagi insan yang tiada kekuatan dan tiada integriti.
Riwayat hadis ini bertujuan meneliti watak-watak lemah dalam politik dan kenegaraan. Politik dan kenegaraan adalah perkara yang besar. Parti politik mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat. Ahli politik adalah sebahagian daripada pihak yang bertanggungjawab dalam urusan pentadbiran negara sama ada pihak kerajaan atau pihak pembangkang.
Perkara besar ini memerlukan insan yang kuat, bukan insan yang lemah.
Antara watak lemah ialah sikap tidak fokus kepada perkara utama. Contohnya, seorang pemimpin sama ada sebelah kerajaan atau pembangkang yang menghabiskan masa menyindir, mengejek atau mengungkit sejarah lama pihak lawan.
Dalam perdebatan, ada masanya perkataan-perkataan yang tidak wajar diucapkan kepada pihak lawan. Contohnya, perkataan-perkataan bodoh, degil dan sebagainya. Ada yang mengejek badan pihak lawan atau disebut body shaming. Perkara kecil diperbesarkan sehingga menghabiskan masa. Ini semua merugikan negara dan rakyat.
Antara watak lemah ialah sikap fanatik kepada parti tanpa berpihak kepada kebenaran. Maka ada yang sanggup mempertahankan ahli dan pemimpin parti walaupun sudah jelas kesilapan yang dilakukan. Watak ini tidak menjadikan kebenaran sebagai asas. Ini merugikan negara dan rakyat.
Antara watak lemah ialah mengangkat ahli sendiri walaupun tiada kelayakan. Maka ada yang dilantik dalam sesuatu jawatan besar walaupun tidak mempunyai ilmu dalam bidang berkaitan. Bagaimana seorang insan yang alim dalam ilmu agama dan kaki ceramah tetapi dilantik menjaga urusan pentadbiran bidang perikanan, contohnya? Bagaimana insan yang mahir dalam ilmu pertanian tetapi dilantik sebagai ketua jawatan dalam bidang perubatan, contohnya?
Antara watak lemah ialah insan yang sudah tua dan uzur diangkat sebagai pemimpin utama. Relatifnya 70 tahun adalah satu tahap umur yang sudah tua. Hanya segelintir kecil masih sihat walaupun sudah 70 tahun, namun faktor usia tetap meletihkan insan. Ketika ini kesihatan badan sudah merosot, fikiran sudah tidak stabil dan sebagainya.
Dalam riwayat hadis dinyatakan juga umur umat Nabi Muhammad antara 60 hingga 70 tahun. Ini bermaksud kebanyakan sudah tua apabila umur sudah mencapai 70 tahun. Ia juga pemberitahuan bahawa ajal sudah makin dekat. Dengan keadaan kesihatan yang tidak bagus ditambah dengan faktor usia terlalu tua, maka negara dan rakyat akan kerugian jika para pemimpin kita dalam kalangan orang yang sakit dan terlalu tua. Sebaliknya kita perlu para pemimpin muda sekitar usia 35 hingga 70 tahun.
Antara watak lemah dalam kepimpinan negara ialah tiadanya keseimbangan antara pelbagai aspek. Ada pemimpin yang rajin solat tahajud dan berpuasa sunat tetapi tidak mengambil berat isu kebajikan rakyat. Ada pemimpin yang cuba menjaga keharmonian kaum sehingga melanggar asas agama Islam. Ada pemimpin yang kaki ceramah, namun tidak mengambil berat isu ketelusan pentadbiran. Ada pemimpin yang mudah berjanji tanpa mengambil kira perlembagaan dan undang-undang.
Kita nampaknya kekurangan pemimpin muda yang mampu ke depan untuk memimpin negara. Kita kekurangan bakal pemimpin muda yang mahir dalam bidang antarabangsa. Kita kekurangan bakal pemimpin muda yang mengutamakan dengan hikmah kebijaksanaan isu-isu agama, ekonomi, politik harmoni dan sosial.
Semoga setiap parti politik memilih calon-calon yang benar-benar berwibawa untuk dinaikkan sebagai pemimpin negara. Carilah calon yang tegas seperti Umar al-Khattab. Carilah calon yang telus dan berintegriti seperti Umar Abd al-Aziz. Carilah calon yang bijak berpolitik seperti Mu’awiyah. Ambillah pengajaran daripada tindakan Nabi SAW yang tidak melantik Abu Dzar demi kebaikan rakyat dan negara.-UTUSAN
DR. Mohammad Nidzam Abdul Kadir ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Kenegaraan & Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).











