ANGKASA-X bejaya lancarkan satelit LEO

ANGKASA-X bejaya lancarkan satelit LEO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ANGKASA-X, syarikat global rangkuman teknologi-sosial Malaysia, berjaya melancarkan satelit A-SEANSAT-PG1 (PG1) buatan tempatan yang pertama, seterusnya memacu pembangunan ekosistem teknologi angkasa lepas di Malaysia dan Asia Tenggara.

Syarikat itu berkata, pelancaran dari Vostochny Cosmodrome, Russia itu telah disiarkan secara langsung di empat lokasi iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) di Georgetown, Pulau Pinang; Ibu Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan pejabat GreenPro Capital di Kuala Lumpur; dan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) di Kuching, Sarawak.

Jelasnya, pasukan pelancaran satelit sulung ANGKASA-X itu diketuai oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasi, Dr. William Lim; Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan, Ir. Norhizam Hamzah bersama pasukan kejuruteraan ANGKASA-X.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan pelancaran satelit PG1, ANGKASA-X akan memanfaatkan pengetahuan teknologinya untuk menerajui perkhidmatan ‘Satellite-as-a-Service’ (SaaS) yang inovatif, untuk membentuk gugusan satelit Low-Earth-Orbit (LEO) di sepanjang garisan khatulistiwa, yang direka di Malaysia oleh jurutera Malaysia.

“Gugusan satelit LEO tersebut akan berhubung dalam mencapai inisiatif berwawasan syarikat dengan menyediakan perkhidmatan pengesan jarak jauh mampu milik dan merevolusikan perkhidmatan kesalinghubungan internet kepada jutaan pengguna di rantau ini, khususnya di kawasan luar bandar di Asia, seterusnya merapatkan jurang digital,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif ANGKASA-X, Dr. Sean Seah berkata, pelancaran itu menandakan kejayaan luar biasa untuk ANGKASA-X dan pasukan jurutera Malaysia yang penuh dedikasi.

“Ia menonjolkan bakat luar biasa dan kemahiran kejuruteraan yang cemerlang, diiringi oleh usaha inovasi tanpa lelah untuk memacu ekonomi angkasa ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, kesalinghubungan adalah satu keperluan untuk manfaat manusia sejagat.

“Dengan pelancaran PG1 dan satelit kami yang seterusnya, kami komited untuk menghasilkan keterangkuman sosial dengan menawarkan perkhidmatan SaaS yang inovatif menerusi teknologi kami, kepada negara-negara di Asia Tenggara, khususnya kepada lebih 50 peratus penduduk kawasan terpencil yang kini tidak mempunyai akses kepada internet.

“Misi utama kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan satelit mampu milik kepada semua, terutamanya rantau yang kurang mendapat perkhidmatan di sepanjang garisan khatulistiwa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini