Ahmad ditinggalkan di Mekah ketika berusia lima tahun

Ahmad ditinggalkan di Mekah ketika berusia lima tahun

AHMAD Mustafa menunjukkan pas bagi menunaikan haji yang masih dalam simpanannya ketika menunaikan ibadah itu pada kali pertama dengan menaiki kapal laut pada tahun 1949 di Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengalaman ‘ditinggalkan’ datuk di Mekah untuk mendalami ilmu agama sejak kali pertama menunaikan haji ketika berusia lima tahun, masih segar dalam ingatan Ahmad Mustafa, 78, walaupun peristiwa itu sudah berlaku 74 tahun lalu.

Menurut anak kelahiran Kampung Teluk Jawa, Padang Hang, di sini, peristiwa tersebut banyak mencorakkan hidupnya hingga berjaya menjadi seorang pensyarah dalam bidang Geografi di Universiti Umm Al-Qura di Mekah selama 21 tahun sebelum kembali ke tanah air pada 1997.

Menceritakan pengalamannya sempena ketibaan musim haji ketika ini, Ahmad berkata, dia dibawa datuknya, Mustafa Taha ke Mekah bersama ibu, abang, bapa saudara serta ibu saudaranya pada 1949 untuk menunaikan haji setelah neneknya maut ditikam perompak yang masuk ke rumah mereka beberapa bulan sebelum itu.

“Berikutan peristiwa sedih itu, datuk nekad membawa kami semua ke Mekah. Apabila tiba di sana, datuk memutuskan agar kami semua tinggal di sana bagi menuntut ilmu dan hanya dia yang pulang ke kampung halaman.

“Bermula dari situlah saya tinggal di Mekah dan hanya pulang ke tanah air buat kali pertama ketika berusia 30-an pada 1978. Sepanjang berada di sana, saya dapat melihat sendiri transformasi perjalanan melaksanakan haji termasuk melibatkan jemaah Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tambahnya, perjalanan ke Mekah pada masa itu bermula dari Pulau Pinang menaiki kapal laut, sebelum transit di beberapa negara termasuk India sebelum tiba ke Jeddah dalam perjalanan selama 15 hari.

“Setibanya di Arab Saudi, saya bersama jemaah lain menggunakan lori sebagai pengangkutan utama. Lori tersebut ada dua tingkat dengan golongan wanita duduk di tingkat pertama dan jemaah lelaki berada di tingkat dua.

“Ada kalanya lori itu yang bergerak perlahan tersangkut ke dalam pasir dan jemaah perlu sama-sama membantu menariknya bersama golongan Arab Badwi. Perjalanan sejauh kira-kira 450 kilometer yang kini hanya ambil masa tiga atau empat jam dari Mekah ke Madinah, dulunya memakan masa dua hari dengan menaiki lori tersebut,” katanya.

Katanya lagi, perbezaan besar lain ketika menunaikan haji dulu dan sekarang adalah cara jenazah diuruskan sewaktu para jemaah berwukuf di Arafah.

“Pada waktu itu berlaku kejadian ribut beserta hujan batu sebesar limau kasturi. Khemah-khemah berterbangan, saya melihat sendiri terdapat seorang jemaah meninggal dunia di situ.

“Maka dikorek kubur di depan khemah dan dikebumikan jenazah di situ juga. Keadaannya sudah tentu berbeza pada masa ini kerana sudah ada tanah perkuburan yang disediakan,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, pada waktu itu umat Islam yang menunaikan haji berada selama kira-kira empat bulan di Arab Saudi berbanding tempoh yang singkat pada waktu ini.

“Tempoh yang panjang itu membolehkan jemaah haji mendalami ilmu agama bersungguh-sungguh bersama guru yang ada di sana. Itu sebabnya apabila mereka pulang ke tanah air, ada yang berkemampuan untuk membuka sekolah pondok dan sebagainya.

“Tetapi sekarang tempoh berada di sana cukup singkat. Disebabkan itu, saya nasihatkan mereka tidak sia-siakan peluang tersebut untuk mencari ilmu serta beribadah di Mekah dan usah habiskan masa dengan terlalu banyak membeli-belah mahu pun bergambar untuk ditayangkan di media sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×