KUALA TERENGGANU : Pakatan Harapan (PH) Terengganu hari ini menyelar kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kononnya hanya UMNO dan Pas sahaja parti yang dominan di negeri itu.
Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kenyataan seumpama itu tidak patut dikeluarkan memandangkan PH dan Barisan Nasional kini berada dalam bahtera yang sama.
Menurutnya, dalam rundingan agihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mesti ada sikap saling menghormati sesama pihak yang berunding apatah lagi ia melibatkan sesama rakan gabungan.
“Walaupun UMNO dan Pas mungkin parti yang lama di Terengganu tetapi ini tidak bermakna penyokong parti komponen PH tidak mempunyai peranan penting penentu dalam PRN Terengganu kali ini.
“Rundingan kerusi di antara PH dan BN di negeri-negeri lain berjalan dengan lebih baik dan harmoni tanpa merendahkan satu sama lain dengan cara terbuka.
“Oleh itu, perlu diingat bahawa peranan parti gabungan yang lain tidak harus diperkecilkan. Parti ‘baru’ juga boleh menjadi penentu ‘King Maker’ dalam situasi Terengganu jika kemenangan tipis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Ahmad meminta PH Terengganu ‘ukur baju di badan sendiri’ sebelum meminta jjumlah kerusi yang banyak untuk ditandingi dalam PRN tidak lama lagi.
Ahmad menegaskan, senario politik di Terengganu adalah unik dan tidak seperti di Pantai Barat kerana hanya tertumpu antara dua parti iaitu UMNO dan Pas sahaja.
Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata, undi diperoleh PH dalam lapan DUN pada pilihan raya lepas lebih besar daripada majoriti kemenangan UMNO atau Pas.
“Ada yang majoriti nipis kurang dari 900 undi. Contohnya, DUN Ajil majoriti hanya empat undi, DUN Bukit Besi majoriti hanya 46 undi dan DUN Jabi majoriti hanya 55 undi .
“PH bukan hanya mahu mengharap jawatan lantikan tetapi mahu menyumbang secara bermakna dalam PRN terutamanya dalam lapan kerusi majoriti nipis di Terengganu itu,” katanya. – UTUSAN










