Ejen hartanah ‘kamus’ jual beli rumah

Ejen hartanah ‘kamus’ jual beli rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EJEN hartanah sering kali bertindak sebagai pemberi khidmat nasihat mengenai selok belok pembelian dan penjualan rumah.

Ini kerana, ejen hartanah kebiasaannya akan mencuba memberikan senarai penawaran hartanah yang bersesuaian dengan cita rasa pembeli dan paling utama, bajet pembeli.

FAZRIDHA MUSTAFA

Menurut pekerja swasta, Fazridha Mustafa, pengalamannya menggunakan khidmat ejen hartanah untuk membeli sebuah rumah subsale tiga tahun lalu adalah positif dan dia berjaya memiliki rumah yang diingini dengan masa yang singkat.

“Ketika itu saya memang mencari sebuah rumah subsale untuk dijadikan pelaburan masa depan, jadi saya memulakan pencarian dengan menggunakan aplikasi mudah.my.

“Apabila saya berhubung dengan ejen hartanah yang menguruskan pembelian rumah tersebut, kami terus menetapkan janji temu untuk melihat keadaan rumah itu. Setelah berpuas hati, ejen tersebut melakukan semua proses seterusnya termasuk memeriksa kelayakan pinjaman, urusan guaman dan sebagainya.

“Ejen tersebut sentiasa memaklumkan kepada saya setiap proses yang dilakukan, sehinggalah tiba proses untuk menandatangani dokumen pinjaman dan surat tawaran yang selesai tanpa sebarang masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, pesara kerajaan, Hussin Hassan pula berkata, dia menggunakan khidmat ejen hartanah dalam proses menjual rumahnya di Semenyih, Selangor tanpa perlu melalui proses yang rumit.

Katanya, ejen tersebut membuat penilaian harga semasa dan mencadangkan harga yang sesuai untuk mencari pembeli dengan cepat.

“Saya juga tidak perlu bersusah payah berjumpa dengan prospek pembeli untuk menunjukkan rumah yang ingin dijual kerana semuanya diuruskan oleh ejen tersebut, tambahan pula saya memang tinggal di negeri lain.

“Ejen hartanah itu juga membantu saya mengenal pasti nilai rumah mengikut harga semasa bagi memastikan saya masih mendapat keuntungan dengan penjualan rumah tersebut,” ujarnya.

MUHAMAD NADZRIN

Dalam pada itu, eksekutif swasta, Muhamad Nadzrin Muhamad berkata, jika tidak menggunakan ejen hartanah, proses yang dilalui pembeli rumah pastinya lebih sukar kerana perlu berurusan dengan pelbagai pihak.

“Sekiranya kita tidak mempunyai ilmu dalam proses membeli hartanah, pasti kita akan berdepan dengan masalah rumit sedangkan ia dapat diselesaikan dengan mudah oleh ejen yang berpengalaman.

“Proses mencari rumah yang diingini pun sudah memeningkan kepala, jadi saya memilih untuk menjalani proses yang lebih mudah dalam usaha pemilikan rumah.

“Setidak-tidaknya, kita juga dapat menambah ilmu mengenai proses jual beli rumah daripada ejen hartanah tersebut, jadi akan lebih mudah jika kita mahu membeli rumah seterusnya di masa depan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×