Kementerian Pendidikan teliti penyelesaian pelajar tidak hadir SPM

Kementerian Pendidikan teliti penyelesaian pelajar tidak hadir SPM

Hadir SPM
FADHLINA Sidek ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Islam dan Melayu: Karamah Insaniah Teras Pembentukan Jati Diri Umat, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti perancangan untuk melaksanakan tindakan intervensi bagi mengatasi masalah pelajar-pelajar yang tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, mereka yang gagal hadir untuk mengambil peperiksaan itu tidak wajar diistilahkan sebagai ponteng kerana terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan pelajar berbuat demikian.

“Bukan ponteng SPM, dalam rekodnya tidak hadir. Jadi bila tidak hadir apa yang KPM buat sekarang adalah siasatan dan kajian penuh. Kita kongsikan selepas ini dan ambil tindakan intervensi bagaimana hendak memastikan (masalah) kehadiran ini dapat diatasi pada masa akan datang.

“Sudah lama sebenarnya, cuma kali ini kita jadikan sebagai satu langkah supaya calon-calon hadir dan ambil peperiksaan, katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Islam dan Melayu: Karamah Insaniah Teras Pembentukan Jati Diri Umat, hari ini.

Mingguan Malaysia pada Ahad lalu melaporkan sejumlah 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam ma­ta pelajaran tidak hadir menduduki peperiksaan itu. 

Berdasarkan analisis KPM, calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lalu bertambah berban­ding calon SPM 2021 yang merekodkan 10,681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada ke­seluruhan 392,837 calon berdaftar.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab isu guru bersara awal dan menyifatkan tindakan tersebut disumbang faktor positif dan negatif termasuk hal-hal berkaitan masalah kesihatan dan kemampuan ekonomi.

“Guru yang bersara awal ini ada faktor menarik dan menolak. Yang menarik adalah faktor sebagai contoh mereka sudah pun ingin bersara kerana pilihan sendiri, berehat dan juga kekuatan ekonomi yang cukup.

“Ada juga faktor lain seperti penguasaan teknologi dan sebagainya yang kita sedang perhalusi kerana kita tak mahu gap itu terlalu banyak, sebab itu ada yang bersara kerana sakit kita tak boleh hold (tahan),” jelasnya.

Bagaimanapun, Fadhlina memaklumkan dalam berdepan isu tersebut KPM berperanan memastikan profesionalisme perguruan tidak terjejas dengan masalah kekurangan tenaga pengajar serta memastikan pembangunan pendidikan, kompetensi dan sebagainya.

“Sebab itu kita bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk memastikan unjuran-unjuran ini yang kita buat juga bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikannya cukup supaya kekurangan guru dapat ditampung dalam keadaan tempoh singkat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×