Saya bukan kaki perempuan - Syed - Utusan Malaysia

Saya bukan kaki perempuan – Syed

Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun terpalit kontroversi yang mengheret dirinya meringkuk dalam lokap dan penjara ‘transit’, penceramah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful menegaskan, dirinya bukanlah seorang kaki perempuan.

Pun begitu, sosok yang terkenal dengan gelaran da’i Syed, 26 itu berkata, dia tidak boleh menghalang persepsi dan stigma masyarakat walau ada yang menggelarkannya sebagai kasanova.

“Saya tak boleh halang mulut masyarakat, itu hak mereka. Bagaimanapun, saya tahu siapa diri saya.

“Saya ini seorang manusia, yang tidak terlepas dari salah dan silap. Cuma sepanjang saya hidup tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang kasanova,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Syed Shah Iqmal, meskipun sedar banyak mulut yang mengecamnya termasuk menggunakan agama serta gelaran pendakwah untuk melindungi diri, dia menyangkal dan berkata tidak pernah berbuat begitu.

Sebaliknya, katanya, apa yang dilakukan selama ini hanyalah berkongsi ilmu pengetahuan kepada masyarakat.

“Ada orang cakap, nama sahaja da’i, buang lah pangkat da’i itu. Sebenarnya da’i ini hanya gelaran bagi pendakwah, tapi hakikatnya semua orang adalah pendakwah. Semua orang kena menyampaikan kebaikan kepada yang lain.

“Saya tak pernah menggunakan agama. Kalau orang tengok saya pun, saya tetap macam ini saja. Saya berkongsi apa yang saya tahu. Kita kena sentiasa memberi manfaat kepada orang. Kena beritahu kepada orang tentang risalah Nabi, risalah Allah,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal ditahan atas pelbagai pertuduhan. Susulan itu, dia ditahan dalam lokap dan penjara sementara selama 23 hari.

Menyingkap pengalamannya, Syed Shah Iqmal berkata pernah satu ketika sewaktu dalam lokap, dia ditempatkan bersama enam tahanan bukan Islam yang terdiri dari kalangan kumpulan gangster.

Katanya, apa yang mengejutkan adalah meskipun ditahan atas tuduhan culik dan bunuh, ketua kumpulan itu tetap menghormatinya sebagai seorang Muslim malah mengejutkannya setiap kali waktu Subuh.

“Ada juga saya duduk dengan satu kumpulan bukan Muslim. Duduk dalam lokap, dia kejut saya solat Subuh. Dia mafia dan mereka enam orang dalam lokap yang sama. Saya tanya, kamu kes apa? Dia jawab, kes culik dan bunuh. Saya memang terkejut.

“Namun bayangkan, dia kejut saya solat subuh. Kamu jangan lupa tuhan, pesan dia. Saya berdoa lepas solat, dia tanya kamu doa sama saya kah? Ya saya doa sama kamu, saya jawab. Tatu dia banyak di lengan dan badan, tapi dia baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×