DALAM era Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan atau (AI) kini menjadi antara teknologi paling berpengaruh dalam membentuk landskap dunia.
AI bukan sekadar mampu mencipta kemudahan dan kepantasan, malah ia dilihat mempunyai potensi besar dalam mengubah cara manusia berfikir, bekerja dan membuat keputusan.
Namun demikian, masih wujud kebimbangan terhadap penggunaan teknologi ini bakal menjadi ancaman terhadap pekerjaan, keselamatan data dan autonomi manusia pada masa akan datang.
Sebenarnya, jika penggunaan AI ini diterapkan dengan penuh bertanggungjawab dengan berpaksikan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik, teknologi ini bukanlah satu cabaran atau ancaman kepada agensi kerajaan mahupun kepada perkembangan dan pembangunan negara.
Malah, ia merupakan satu peluang besar dalam usaha memperkukuhkan pelaksanaan undang-undang, mempertingkat keberkesanan penguatkuasaan serta memastikan pelanggaran peraturan dan jenayah dapat dibendung dengan lebih berkesan.
Dengan perkembangan teknologi AI yang kian pesat, ia mampu menjadi alat bantu dalam memantapkan sistem tadbir urus organisasi melalui analisis data pintar yang dapat dihasilkan dengan pantas.
Sistem AI juga dapat mengenal pasti corak ketidakpatuhan, penyelewengan, atau salah guna kuasa dengan lebih awal sebelum sesuatu isu menjadi serius.
Malah, AI juga boleh digunakan untuk membantu menilai laporan atau aduan awam secara terus bagi menentukan keutamaan terhadap tindakan yang sewajarnya diambil, sekali gus mempercepatkan proses tindakan dan meningkatkan kecekapan operasi agensi.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan teknologi AI ini bukanlah pengganti kepada pertimbangan manusia, sebaliknya ia berfungsi sebagai alat sokongan dalam menegakkan keadilan berdasarkan fakta dan bukti kukuh yang masih memerlukan sentuhan akal dan fikiran secara logik dan rasional manusia.
Seiring dengan perkembangan teknologi AI yang kian pesat mendahului kini ia perlulah disertai dengan garis panduan etika yang jelas. Penggunaan AI mestilah berlandaskan nilai integriti, ketelusan, serta menghormati hak asasi individu.
Setiap agensi perlu memastikan sistem AI yang digunakan bebas daripada bias, manipulasi data, atau salah guna kuasa.
Latihan kesedaran dan pembangunan kompetensi terhadap penggunaan teknologi AI dalam kalangan kakitangan agensi terutamanya penjawat awam juga amat penting.
Mereka perlu diterapkan dan memahami bukan sahaja cara AI berfungsi, malah pendedahan kepada implikasi etika dan undang-undang yang terlibat juga perlu dijelaskan sebagai peringatan dan panduan sebelum mana-mana teknologi AI digunakan.
Hanya dengan pendedahan dan kefahaman ini, teknologi AI dapat digunakan sebaiknya sebagai pemangkin kecekapan dan keadilan dalam organisasi dan ia bukanlah satu ancaman.
AI bukanlah ancaman kepada agensi atau sistem penguatkuasaan undang-undang. Sebaliknya, ia merupakan peluang strategik untuk memperkukuh keberkesanan, ketelusan dan integriti dalam perkhidmatan awam.
Dengan pendekatan yang beretika, kawalan data yang rapi serta tadbir urus yang mantap, AI mampu menjadi rakan kolaborasi utama dalam usaha membanteras jenayah, mengukuhkan penguatkuasaan dan menegakkan keadilan di negara ini.
AI juga bukanlah pesaing manusia, ia boleh kita anggap sebagai pelengkap kepada kebijaksanaan, nilai moral dan tanggungjawab yang menjadi teras keutuhan perkhidmatan awam berintegriti.
Sebagai penutup “Teknologi tanpa integriti akan kehilangan arah. Integriti tanpa teknologi pula akan ketinggalan zaman. Hanya apabila kedua-duanya bergabung, keadilan dapat ditegakkan dengan bijaksana.” – UTUSAN
NORANI SAPUAN
Pegawai Tadbir,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)










