PETALING JAYA: Kerajaan dicadang mewujudkan elaun rumah sewa bagi mengurangkan beban pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terutamanya golongan miskin dan B40 untuk mengalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian.
Kaedah itu telah digunapakai di beberapa negara maju seperti Jerman, Perancis, Australia dan New Zealand apabila kerajaan masing-masing memberikan elaun khas untuk pelajar yang tinggal di rumah sewa sepanjang tempoh pengajian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, isu perumahan turut dirasai oleh belia yang menuntut di menara gading dan menyebabkan mereka bukan sahaja mengikat perut malah terpaksa bersesak di dalam sebuah rumah yang kecil.
Berita berkaitan:
Lebih mengejutkan, katanya, mereka turut berdepan manipulasi harga oleh pemilik dan ejen rumah yang mengambil kesempatan menaikkan kadar sewa yang disifatkan tidak masuk akal utuk mengaut keuntungan atas angin.
Justeru beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, sudah tiba masa kerajaan mengambil langkah untuk memperkenalkan elaun dan harga siling untuk menyelesaikan masalah tersebut yang berlarutan sekian lama.
“Kenaikan kos sara hidup turut dirasai pelajar IPT dan sekali gus menjadi punca mereka tidak berminat sambung pengajian. Sudahlah dihimpit masalah ini, selepas tamat belajar pula berdepan soal bayaran semula pinjaman pendidikan dan gaji tidak setimpal dengan kelulusan masing-masing.
ELAUN
“Oleh itu, kerajaan diharapkan dapat memperkenal elaun sewa rumah bagi menampung kos sewa kediaman. Pada permulaannya, pemberian insentif tidak semestinya diberikan sepenuhnya, tetapi apa yang penting dapat diwujudkan bagi mengurangkan bebanan pelajar IPT,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas trend lepasan SPM yang dikatakan tidak berminat melanjut pengajian ke IPT apabila statistik menunjukkan 35.16 peratus atau 115,939 orang lepasan SPM 2020 dan 48.74 peratus atau 180,680 lepasan peperiksaan 2021 itu tidak melanjutkan pelajaran.
Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal menjelaskan, penetapan harga siling sewa rumah perlu dilakukan dengan situasi menang-menang dengan kadar sewaan rumah boleh mengikut lokaliti kampus.
Beliau mengambil contoh terdapat pemilik rumah kos rendah di Melaka menetapkan sewa rumah pada harga RM1,000 sedangkan bayaran pinjaman rumah dalam lingkungan RM500-RM600.
“Jadi tidak munasabah letak harga tinggi sehingga bebankan pelajar. Perkara ini tidak termasuk lagi menetapkan mengikut seorang pelajar, bayangkan seorang mahasiswa RM200 dan ada pula 10 pelajar, maka dia dapat untung bersih RM2,000,” ujarnya.
Dr. Muhamad Akmal menambah, beliau telah membawa cadangan itu kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kerajaan akan meneliti hasrat tersebut dalam masa terdekat.
“Isu ini menjadi faktor pelajar tidak minat sambung belajar khususnya lepasan SPM kerana kenaikan kos hidup di menara gading menyebab mereka tidak berhasrat sambung belajar,” katanya.- UTUSAN











