PILIHAN Raya Negeri (PRN) Kelantan 1990 menyaksikan 39 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berpihak pada Pas dan tiada kerusi untuk UMNO. 1990 mencatatkan detik hitam untuk UMNO sehingga kini. Selama 33 tahun UMNO melawan Pas di Kelantan dengan membawa peluru pembangunan berakhir dengan kegagalan demi kegagalan dalam menawan hati rakyat Kelantan. Boleh dikatakan Kelantan adalah sebuah negeri yang 95 peratus penduduknya Melayu. Setiap kali pilihan raya, peratusan keluar undi adalah tertinggi dalam kalangan semua negeri dengan undi rosak paling kecil peratusannya.
Walaupun Pas memenangi keseluruhan Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetapi peratusan keluar undi secara keseluruhan lebih kurang 70 peratus. Pertambahan sebanyak 23 peratus anak-anak muda berumur 18 tahun sedikit sebanyak mengubah landskap politik di Kelantan.
Peratusan keluar undi tertinggi adalah di Parlimen Ketereh iaitu 73.71 peratus dan Parlimen Machang, 73.3 peratus. Parlimen Kota Bahru pula mencatatkan peratusan terendah, 67.57 peratus. Dalam analisis keputusan PRU15 didapati 70 peratus anak-anak muda bawah umur 30 tahun menyokong Perikatan Nasional (PN) berbanding golongan berumur 40 tahun ke atas yang menyokong Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH).
Malahan majoriti golongan perantau lebih kurang 80 peratus menyokong PN dalam PRU15. Ini menyebabkan kekalahan teruk BN-PH manakala golongan penduduk tempatan yang menyokong BN adalah 35 peratus dan PH sebanyak 10 peratus. Majoriti yang menyokong PN dalam kalangan mereka berumur bawah 30 tahun juga. Ini menandakan berlakunya satu gelombang penolakan dalam kalangan anak-anak muda Kelantan.
Walaupun BN mengalami kemerosotan undi tetapi di Parlimen Tumpat didapati jumlah undi ke atas parti itu meningkat kira-kira 500 dan Parlimen Gua Musang kira-kira 2,000. BN masih mengekalkan jumlah undi di Parlimen Kota Bharu yang diperoleh pada PRU 2013 dan 2018. Kemerosotan undi melebihi 10,000 bagi BN adalah di Parlimen Tanah Merah diikuti Parlimen Ketereh dengan kemerosotan kira-kira 8,000 undi dan Parlimen Jeli kemerosotan 7,000 undi.
Sebenarnya kerajaan perpaduan berpotensi untuk menang di beberapa DUN Kelantan. Antaranya DUN dalam Parlimen Gua Musang dan Parlimen Machang, Ini disebabkan terdapat faktor tertentu yang boleh menguatkan semula sokongan ke atas kerajaan perpaduan. Apa yang penting ialah kepedulian ahli-ahli komponen parti gabungan kerajaan perpaduan untuk keluar undi dan sokong calonnya.
Dalam PRU15 lalu, sebahagian kecil ahli BN tidak keluar undi dan implikasinya ialah anak-anak mereka turut tidak mengundi BN. Bagi DUN Parlimen Pengkalan Chepa, calon-calon kerajaan perpaduan berpotensi menang sekiranya pengaruh legasi Tok Guru Nik Aziz (Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat) dengan sokongan padu ahli-ahli gabungan parti kerajaan perpaduan diperolehi sepenuhnya terutama di DUN Chempaka.
PALING SENGIT
DUN Kota Lama, DUN Tanjung Mas, DUN Wakaf Bahru, DUN Tendong dan DUN Semarak pula merupakan DUN paling sengit andai kata calon yang bertanding mempunyai potensi mempengaruhi sokongan undi berpihak kepada kerajaan perpaduan. Analisis melihat soal calon dan bukannya parti ke atas kelima-kelima DUN tersebut.
Bagi DUN dalam Parlimen Tanah Merah, DUN dalam Parlimen Jeli dan DUN dalam Parlimen Ketereh, usaha memulihkan semula sokongan ahli-ahli BN amat penting. Kehilangan ketiga-tiga Parlimen ini disebabkan penurunan undi ahli-ahli UMNO. Ini bermakna jentera UMNO perlu bekerja keras dalam meraikan semula sokongan ahli dan golongan atas pagar yang dahulunya menyokong BN. Apa yang penting adalah penyelesaian pelbagai isu berbangkit setelah ditinggalkan oleh legasi warlords UMNO Kelantan.
Malah kebanyakan masa selepas PRU15, BN-PH perlu menyantuni kumpulan yang boleh memberi sokongan terutama kumpulan yang pro-legasi Tok Guru Nik Aziz. Usrah dan ukhuwah untuk menguatkan silaturahim antara kumpulan tersebut dengan BN-PH melalui jelajah siri turun padang terutama di sekolah peninggalan legasi Tok Guru Nik Aziz.
Perkasakan semula kekuatan akar umbi terutama golongan muda yang berada di kampung, universiti awam mahupun di agensi kerajaan. Ini disebabkan penurunan sokongan anak-anak muda disebabkan lemahnya hubungan antara UMNO Kelantan dengan golongan berkenaan. Malahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anak-anak muda yang ada di menara gading dilihat kurang memberikan impak sokongan jelas ke atas gabungan BN-PH. Pengukuhan hubungan sama ada melalui komunikasi dua hala atau pelbagai program aktiviti yang boleh menangkis persepsi negatif ke atas UMNO Kelantan.
Walaupun UMNO Kelantan banyak berjasa ke atas rakyat negeri itu tetapi pengukuhan hubungan berdasarkan kepada keyakinan dan kepercayaan masih rendah. Ini berkemungkinan berlaku kerana wujudnya jurang digitalisasi komunikasi melalui media sosial atau kurangnya program aktiviti yang meyakini mereka. Ini disebabkan mereka meragui kemampuan UMNO menyelesaikan isu-isu berbangkit melibatkan golongan ini.
Tambahan pula pada masa kini, kekurangan tokoh berwibawa dalam kalangan pemimpin BN-PH sedikit sebanyak mempengaruhi sokongan anak muda. Strategi mobilisasi dan pemusatan politik Melayu dan Islam untuk jangka waktu panjang perlu dirancang dengan teliti dalam membina semula kekuatan keyakinan dalam iklim politik Kelantan.
Penggunaan slogan demi membangkang untuk kebaikan rakyat Kelantan dapat melembutkan golongan atas pagar bagi menyokong gabungan BN-PH dalam membantu penyelesaian isu berbangkit seperti air, pekerjaan, infrastruktur dan sebagainya. Ini amat penting dalam mengembalikan semula kekuatan semangat juang dan mobilisasi anggota parti BN-PH Kelantan. Pada masa kini, penganalisis melihat perubahan amat penting dalam pemerkasaan semula politik jajaran baharu BN-PH di Kelantan. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.











