PETALING JAYA: Pekebun kecil sawit kini tertekan ekoran harga baja naik lagi sebanyak 100 peratus ketika jualan semasa buah tandan segar jatuh RM600 hingga RM650 satu tan metrik.
Ia berbeza dengan jualan tahun lalu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), apabila harga jualan di pusat timbangan buah sawit mencapai RM800 satu tan metrik.
Situasi itu diburukkan dengan harga baja mencecah RM160 bagi satu guni baja kimia 50 kilogram (kg) berbanding harga sewaktu pandemik Covid-19 RM80 untuk seguni.
Seorang pekebun kecil sawit di Temerloh yang dihubungi Utusan Malaysia, Mohd. Azri Azmi berkata, belanja menguruskan kebun sawitnya seluas empat hektar di Temerloh sangat tinggi sehingga menjejaskan pendapatan bulanannya, dengan situasi bertambah mendesak berikutan harga barangan asas yang meningkat.
Jelasnya, pendapatan diperoleh hasil jualan buah sawit sekarang ini cuma RM2,160 sebulan sebelum menolak kos pembajaan.
Katanya, situasi tersebut berbeza pada tahun lalu apabila sewaktu musim yang baik, harga FFB satu tan mencecah RM800 dan dia memperoleh pendapatan RM2,900 bagi empat tan sawit sebelum ditolak kos baja.
“Kebun saya kecil saja di Temerloh, 10 ekar tapi saya guna sikit tanah kebun bina reban ayam. Minggu lepas saya jual buah sawit di RAM, harga FFB mereka ambil adalah RM620 satu tan. Itu pada 1 Jun lalu. Bulan lepas pada 1 Mei, RM730 satu tan FFB.
“Saya guna lori sendiri, saya jual FFB di RAM terletak di Kampung Datuk Sarip Ahmad, Kuala Krau di Temerloh. Kos saya, saya punggah menggunakan lori kecil. Dua trip lebih kurang RM50 minyak, kalau termasuk upah kos saya dalam RM80 satu tan. Kalau saya bawa empat tan, kos saya RM320.
“Harga jualan FFB cuma RM620 satu tan, untuk jualan saya empat tan saya dapat RM2,480. Tolak RM320, hasil bersih jualan FFB saya cuma RM2,160 sebulan dengan kos baja sekarang yang sangat tinggi,” keluhnya.
Akhbar ini turut menyemak harga terkini FFB dengan beberapa pekebun kecil di utara tanah air, yang turut mengesahkan bahawa di wilayah utara juga harga semasa FFB pada kadar RM600 sehingga RM650 satu tan mengikut RAM berbeza.
Untuk rekod, dalam laman sesawang Lembaga Minyak Sawit (MPOB) pada bahagian Harga Harian Minyak Sawit Mentah Malaysia – 2023, graf harga sawit bermula Mac sehingga Mei tahun ini menunjukkan trend penurunan signifikan. Pada 8 Mac, MPOB merekodkan harga minyak sawit mentah RM4,224 satu tan sementara pada 8 Jun, harga komoditi itu merudum teruk pada kadar cuma RM3,359 satu tan.
KAWAL DAYA USAHA
Dalam pada itu, seorang pekebun sawit di Pahang yang cuma mahu dikenali sebagai Norhayati yang menghubungi Utusan Malaysia, mendesak kerajaan mengambil langkah segera menangani kejatuhan harga komoditi itu yang menjejaskan pendapatan pekebun kecil.
Dalam mesej dihantar kepada Utusan Malaysia, Norhayati mengeluh nasib pekebun kecil yang kini terpaksa berdepan harga sawit terlalu rendah.
“Minggu lepas (harga jualan FFB) RM600, bulan lepas RM720 satu tan. Ada ura-ura (harga sawit) akan turun lagi. Sekarang ini, tempat beli sawit (RAM) pun mahu cuti, alasannya mahu tunggu harga baru diselaraskan kerajaan.
“Sedangkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), walaupun orang kata politik tak stabil, tapi harga sawit RM780 satu tan. Sekarang, kasihan peneroka Felda. Kawan-kawan saya mengeluh, mahu dapat RM1,000 sebulan pun sakit,” katanya.
Norhayati berkata, kerajaan sebenarnya mampu meningkatkan harga sawit meskipun ia komoditi global yang permintaan dan bekalannya ditentukan pasaran dunia.
“Selepas Covid-19, (harga) sawit naik sampai RM780 (satu tan FFB). Dalam pada situasi politik waktu itu yang dikatakan tidak stabil, kerajaan waktu itu ada daya usaha mempromosi sawit dan ini dapat dilihat melalui harga yang lebih tinggi berbanding sekarang.
“Kerajaan sekarang perlu lebih kerap menjalankan kempen mempromosi sawit kepada dunia luar, kalau mahu kata kita tak boleh kawal harga sawit sebab itu komoditi global, kita memang tak boleh kawal komoditi itu sendiri. Tapi kita boleh kawal daya usaha kita untuk mempromosikan komoditi kita,” katanya.
Sementara itu bagi pasaran Indonesia, semakan di laman web Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) pada 11 Jun mendapati pada 25 Mei, harga minyak sawit mentah Indonesia pada kadar RM3,918 (AS$850) satu tan manakala pada 8 Jun, harga komoditi itu pada kadar RM3,577 (AS$776), berdasarkan kadar tukaran matawang semasa 11 Jun iaitu 1 dolar bersamaan RM4.61. – UTUSAN










