KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan tajaan kepada pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan permintaan terhadap tenaga kerja di bidang-bidang tersebut sudah mencukupi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 mencatatkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara dengan populasi penduduk sehingga Disember 2021 ialah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 mampu dicapai pada 2025.
Menurut beliau, jumlah pegawai perubatan tahun 2021 adalah 72,812 melebihi permintaan iaitu berjumlah 70,721.
“Pegawai pergigian dan farmasi juga akan memenuhi keperluan permintaan masing-masing pada tahun 2025 dan 2029.
“Bagaimanapun pelajar dalam tanggungan JPA tetap akan ditaja sehingga tahun 2027,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddon Wan Jan (PN-Tasik Gelugor) mengenai tindakan kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.
Selain itu, Armizan berkata, seramai 1,774 pelajar perubatan tajaan JPA juga dijangka menerima ijazah masing-masing pada tahun 2023 dan diikuti oleh 69 pelajar pergigian serta 296 pelajar farmasi.
Tambahnya, seramai 2,029 pelajar perubatan, 68 pelajar pergigian dan 184 pelajar farmasi yang lain akan menerima ijazah mulai tahun 2024 hingga 2027.
Beliau berkata, kajian Kementerian Kesihatan turut mendapati berlaku kesukaran untuk menyerap keseluruhan pelajar perubatan tajaan kerajaan ke dalam perkhidmatan awam.
“Melalui langkah ini, kami percaya JPA dapat menaja lebih ramai pelajar dalam bidang lain.
“Untuk pengetahuan, kos penajaan seorang pelajar perubatan adalah bersamaan dengan kos penajaan untuk 10 pelajar dalam bidang lain,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, jelas Armizan, pelajar bidang perubatan boleh mendapatkan pembiayaan pengajian daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tanpa ikatan kontrak berkhidmat.
Baginya, usaha tersebut dapat memberikan ruang dan fleksibiliti kepada pelajar perubatan dalam pemilihan institusi pekerjaan dan pelanjutan pengajian dalam bidang kepakaran masing-masing.- UTUSAN











