14,858 ‘ponteng’ SPM 2022 - Utusan Malaysia

14,858 ‘ponteng’ SPM 2022

Kerajaan diminta mengenalpasti punca lebih 14,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM 2022. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam ma­ta pelajaran tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Berdasar analisis Kementerian Pendidikan (KPM), calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lalu bertambah berban­ding calon SPM 2021 yang merekodkan 10,681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada ke­seluruhan 392,837 calon berdaftar.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahte­raan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, trend ‘ponteng’ SPM membimbangkan apabila semakin ramai calon tidak hadir walaupun diketahui sijil SPM penting bagi menjamin masa depan.

Menurut beliau, dalam hal ini, KPM perlu meneliti apakah faktor-faktor yang menjadi punca calon tidak hadir termasuk jumlah yang gagal memperoleh sijil SPM iaitu sebanyak 8.4 peratus.

Jika mengambil kira daripada jumlah calon baharu yang hadir iaitu seramai 373,974 orang, ini bermakna jumlah calon yang gagal memperoleh sijil SPM adalah kira-kira 31,413 orang.
Syarat pensijilan SPM mulai 2013 menetapkan calon sekurang-kurangnya wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Bagi tujuan analisis keputusan peperiksaan SPM, KPM mengambil kira mereka yang mendaftar kali pertama dan mendaftar sekurang-kurang­nya enam mata pelajaran.

REKOD

Bagi SPM 2021, seramai 382,156 orang hadir menduduki peperiksaan berbanding rekod berdaftar keseluruhan sebanyak 407,097 calon.

Jumlah keseluruhan calon SPM 2022 termasuk calon persendirian, mereka yang mengambil kurang enam mata pelajaran dan calon lebih sekali mengambil peperiksaan itu ialah 403,637 orang yang mendaftar di 3,355 pusat pe­periksaan di seluruh negara.

Dalam pada itu Anuar berkata, KPM perlu meneliti apakah sebab calon terlibat tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut.

“Adakah sebab sakit atau tidak mahu sambung pendidikan atau pun telah bekerja ke­rana jumlah itu agak besar dan meningkat dari tahun lepas.

“Begitu juga jumlah mereka yang gagal menerima sijil sedangkan sijil SPM penting dan memberi kesulitan kepada mereka untuk meneruskan pendidikan atau memasuki bidang kerjaya. Jadi tindakan mesti diambil untuk menyelesaikan dua isu ini,” katanya.

Jumaat lalu, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali dalam satu kenyataan melahirkan kebimbangan terhadap minat untuk menyambung pengajian yang sangat rendah dalam kalangan lepasan SPM.

Menurutnya, walaupun keputusan SPM 2022 menunjukkan pencapaian lebih baik dan KPM turut mengesahkan kualiti sistem pendidikan negara adalah setanding dengan pentaksiran antarabangsa tetapi ia berbeza dengan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada awal tahun ini.

Laporan itu katanya, melaporkan 170,000 murid sekolah di akhir sekolah rendah tidak mahir membaca atau sekitar 5.8 peratus rakyat Malaysia tidak pernah bersekolah.

Menurut beliau, penghujung Mei lalu pula, Malaysia digemparkan dengan laporan Menteri Pendidikan bahawa hampir 50 peratus (180,680 pelajar) lepasan SPM 2021 tidak berminat menyambung pengajian mereka.

TENAGA KERJA

“Minat untuk menyambung pengajian yang sangat rendah ini lebih merisaukan kerana kini hanya 28 peratus tenaga kerja Malaysia adalah pekerja mahir (umumnya berpendidikan tinggi), jauh lebih rendah berbanding purata bagi beberapa buah negara maju iaitu sekitar 53 peratus. Menggusarkan.

“Laporan Bank Dunia ‘Aiming High’ pada tahun 2021, memberi rumusan Malaysia berhadapan dengan cabaran menyediakan modal insan yang berkualiti. Pencapaian pe­ndidikan Malaysia agak terkebelakang berbanding de­ngan negara-negara maju. Me­runsingkan,” katanya.

Terdahulu, dalam pengumuman Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali pada Khamis lalu, beliau berkata, seramai 10,109 atau 2.7 peratus daripada 373,974 calon yang menduduki SPM 2022 berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Menurut beliau, bagi calon mendapat keputusan lulus, ia membabitkan seramai 128,193 atau 34.3 peratus, manakala 126,793 calon atau 33.9 peratus pula sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran.

Daripada jumlah calon yang menduduki peperiksaan itu juga, seramai 32,118 bersamaan 8.6 peratus memperoleh keputusan kombinasi gred dan 0.4 peratus atau 1,439 calon memperoleh keputusan semua gagal.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×