KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak dalam UMNO memadam kecurigaan sesama parti selain tidak mencetuskan tindakan menggores hati dalam kalangan ahli yang menganggotai kerajaan perpaduan.
Presiden UMNO itu berkata, ingatan tersebut turut ditujukan buat ahli parti itu yang perlu menjaga tutur kata dan tindakan agar tidak mengundang keresahan kepada rakan parti lain.
Beliau turut berjanji akan terus mempertahankan kerajaan perpaduan di sebalik desas-desus rancangan pihak tertentu untuk menggantikan kepimpinan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Julai atau Ogos ini.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
PAU 2023 semalam turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 6,000 perwakilan.
Kata Ahmad Zahid, selepas tujuh bulan UMNO bersama beberapa parti lain yang membentuk kerajaan perpaduan, perkara pokok melibatkan Islam, Melayu dan bumiputera tidak pernah dicabar atau cuba dirobek mana-mana rakan kongsi politik.
SESAMA
“Harapan saya, kesalingan yang terbentuk memadamkan kecurigaan sesama kita. Jangan lagi ada kenyataan-kenyataan boleh menggores hati antara kita. Kepada sahabat-sahabat kita, jangan diusik hati dan perasaan orang Melayu. Begitu juga dengan kita, elakkan tutur dan tindakan yang boleh mengundang resah sahabat dan rakan.
“Andai ada cubaan memainkan sentimen kononnya kerjasama politik dilakukan UMNO akan menghakis kedudukan Islam, Melayu dan bumiputera, suka saya tegaskan UMNO bukan political chameleons atau mengkarung politik,” kata beliau.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyingkap Sirah Perjanjian Hudaibiyah yang perlu dijadikan pedoman dalam membuat keputusan kerajaan perpaduan, apabila hikmah perjanjian berkenaan berjaya merintis pembukaan Kota Mekah sekali gus menjadi sejarah besar perjuangan Islam.
Justeru, tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, perubahan politik dunia dan dalam negara menuntut semua pihak agar segera melakukan penyesuaian yang menyaksikan banyak negara kini terpaksa membentuk kerajaan daripada pelbagai parti sama ada atas nama kerajaan campuran mahupun kerajaan perpaduan.
“Parti-parti politik yang sebelumnya berseteru dan tidak boleh bersama, kini bergabung membentuk kerajaan, demi rakyat. Dulu kita lawan tetap lawan, kini menjadi kawan.
MEMBENTUK
“Hari ini lebih 70 negara di dunia membentuk kerajaan perpaduan seperti New Zealand, Perancis, Denmark, Papua New Guinea, Brazil dan lain-lain. Kebanyakan negara Barat dan Asia, melorongkan pembentukan kerajaan perpaduan bagi memadamkan polemik politik selama ini, merencatkan kestabilan dan menyekat penjanaan ekonomi negara serta rakyat,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO yang lahir atas kebangkitan rakyat dan maruah negara sudah pasti tidak mahu membiarkan Malaysia terus terjerumus ke kancah konflik politik berpanjangan dengan parti itu perlu segera bangkit menyusun langkah untuk bersama-sama menyertai politik progresif dunia masa kini.
Selain itu, beliau meminta semua pihak memberi peluang kepada kerajaan perpaduan menterjemahkan agenda dijanji susulan terdapat suara-suara mengatakan banyak perkara yang menjadi game changer belum terlaksana.
“Saya percaya, ini dapat dilaksanakan dengan dukungan kakitangan awam, yang berpegang kepada prinsip menumpahkan taat setia kepada kerajaan semasa,” katanya.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus mempertahankan kerajaan perpaduan meskipun wujud desas-desus rancangan pihak tertentu untuk mengantikan kepimpinan negara pada Julai atau Ogos depan.
Kata Pengerusi BN itu, pihaknya bersama parti-parti mendukung kerajaan perpaduan tidak sesekali akan membenarkan perkara itu berlaku dan terus akan mempertahankan sehingga PRU16.- UTUSAN










