PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia berjaya menyelesaikan isu-isu yang berlarutan puluhan tahun melibatkan perjanjian enam instrumen dua hala berkaitan ekonomi, perdagangan, sempadan dan maritim yang ditandatangani kedua-dua negara.
Perjanjian itu melibatkan persempadanan laut wilayah kedua-dua negara (bahagian paling selatan Selat Melaka), persempadanan laut wilayah dua negara di Laut Sulawesi, perdagangan sempadan, kerjasama promosi pelaburan dan pengiktirafan bersama pensijilan halal bagi produk domestik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa memorandum persefahaman dimeterai dan kerjasama dua hala sampai ke tahap membanggakan melalui hubungan akrab umpama satu keluarga yang memberi faedah kepada kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.
“Kalau kita teliti beberapa perjanjian tadi, dalam pertemuan saya dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di Bogor, beliau beritahu saya bahawa rundingan ini sudah puluhan tahun tetapi tidak mampu diselesaikan.
“Saya bangga dengan kepimpinan kedua-dua pemimpin hari ini dan rakan-rakan lain dapat selesaikan isu yang telah runding selama berpuluh tahun dan hari ini kita saksikan ada yang soal kecil dan kita putuskan mengikut arahan Presiden,” katanya dalam sidang akhbar bersama
Menurut Anwar, bidang kerjasama perdagangan dan pelaburan turut diberi tumpuan penting terutama berkaitan pelaburan langsung asing dan menyatakan komitmen Malaysia menerusi Belanjawan Madani melalui peruntukan RM1 bilion untuk memperkukuh badan berkanun keselamatan di sempadan seperti Kastam dan Imigresen termasuk aspek prasarana berkaitan.
Selain itu, kata beliau, isu kepentingan kelapa sawit turut ditekankan penegasan kedua-dua negara dalam memelihara komoditi itu di peringkat antarabangsa.
Katanya, kedua-dua negara menyambut baik dalam memelihara urusan perdagangan dan keputusan pelaburan kelapa sawit bukan sahaja untuk syarikat besar malah untuk kepentingan pekebun kecil.
“Tahniah kepada kedua-dua menteri berkaitan kerana pertama kali satu suara Indonesia dan Malaysia menyuarakan untuk pertahankan kepentingan kelapa sawit.
“Isu-isu lain yang dirunding seperti isu sempadan jerebu, kerjasama peningkatan kebudayaan, pendidikan, bidang dakwah sederhana serta pemahaman Islam bahkan di Indonesia boleh dimanfaatkan dan diteruskan kerana ini memberi makna persahabatan dan kerjasama yang akrab,” katanya.
Sementara itu, Jokowi pada sidang akhbar bersama itu menyifatkan lawatannya berjaya dan menyambut baik penyelesaian yang dicapai berhubung sempadan laut di Laut Sulawesi yang mana rundingan mengenainya telah berjalan sejak 18 tahun lalu.
Jokowi juga berharap rundingan mengenai isu sempadan darat dan laut serta berkaitan pekerja migran Indonesia di Malaysia dapat diselesaikan melalui hubungan kekeluargaan serta kerjasama baik Perdana Menteri dan menteri berkaitan.
“Alhamdulillah, isu yang dirunding sejak 18 tahun berjaya kita selesaikan hari ini. Saya berharap rundingan di perbatasan lain termasuk Pulau Sebatik dan lain dapat segera diselesaikan dengan harapan Perdana Menteri masih Anwar dan di Indonesia presidennya masih Jokowi,” katanya,
Menurut Jokowi, beliau menghargai komitmen diberikan kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Anwar bagi melindungi pekerja dari negaranya itu.
“Mengenai perlindungan pekerja migran Indonesia, saya sangat menghargai komitmen Anwar untuk memperkuatkan perlindungan dan undang-undang yang adil kepada pekerja Indonesia.
“Berikutan itu, saya dan Anwar sepakat untuk membentuk mekanisme khusus bilateral bagi menyelesaikan masalah migran Indonesia,” ujarnya. – UTUSAN










