Pandemik COVID-19 memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan B40 yang berpendapatan rendah. Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang terjejas sumber pendapatan akibat kehilangan kerja dan juga sekatan ekonomi yang berlaku akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Keperitan dan kesukaran ini sedikit terubat dengan bantuan-bantuan yang diberikan oleh orang perseorangan, selebriti, pendakwah dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun, timbul polemik apabila bantuan oleh sesetengah pihak dibandingkan dengan antara satu sama lain.
Ini menimbulkan persepsi seolah-olah satu pihak memberikan sumbangan yang siginifikan manakala pihak yang lain pula digambarkan seolah-olah tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Sedekah mempunyai maksud dan penafsiran yang cukup luas dalam Islam. Secara mudahnya, ia boleh didefinisi sebagai pemberian oleh seseorang kepada orang lain yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT sama ada pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, sanak-saudara, mahupun untuk kepentingan agama (fi sabilillah).
Malah, sedekah juga dianjurkan untuk diberikan kepada orang bukan Islam dan juga haiwan.
Saranan bersedekah dianjurkan oleh Allah SWT iaitu: Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah serta mereka yang memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya) dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. (al-Hadid: 18)
Sedekah dalam konteks harta yang diberikan boleh dibahagi kepada dua bahagian iaitu sedekah wajib dan sedekah sunat. Sedekah wajib ialah zakat harta dan zakat fitrah.
Sedekah sunat pula ialah hadiah, wakaf, hibah, wasiat, pelepasan hutang dan pengguguran hak.
Dalam konteks penggunaan istilah sedekah dalam kalangan masyarakat di Malaysia, ia sering merujuk kepada hadiah, bantuan dan sumbangan yang diberi kepada fakir, miskin dan golongan yang memerlukan.
Justeru, ada beberapa perbezaan perlu difahami dalam menguruskan pengagihan dana sedekah dan zakat supaya tidak timbul salah faham dan polemik dalam kalangan masyarakat.
Kesalahfahaman ini akan memberi gambaran yang negatif dan tidak adil, sedangkan sedekah merupakan suatu amalan yang terpuji dan amat digalakkan dalam Islam.
Pertama, sedekah tidak sama dengan zakat dari sudut keluasan penerima bantuan dana tersebut. Sedekah boleh diberi kepada orang Islam dan bukan Islam. Namun zakat perlu diberi kepada orang Islam yang telah ditentukan dalam al-Quran, iaitu lapan golongan penerima (asnaf zakat). (rujuk at-Taubah: 60)
Kedua, sedekah tidak sama dengan zakat dari sudut kawalan hukum syarak atau fatwa. Sedekah boleh diberi kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa limitasi golongan tertentu dan tidak terikat dengan ketetapan hukum atau fatwa.
Sebaliknya zakat perlu dipastikan agihannya benar-benar sampai kepada lapan golongan asnaf yang ditetapkan supaya menepati hukum dan fatwa. Penelitian dan penilaian terhadap golongan asnaf yang layak menerima perlu diberi perhatian supaya matlamat hukum syarak tercapai dan terlaksana.
Ini kerana, zakat adalah ibadah wajib yang perlu diuruskan dengan betul dan tepat kerana akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat.
Ia melibatkan penilaian dosa dan pahala dalam menguruskan amanah mengagihkan dana zakat dengan sebaiknya.
Ketiga, sedekah tidak sama dengan zakat dari sudut kawalan dan pantauan pihak berwajib. Sedekah oleh individu adalah bebas tanpa ada halangan dan sekatan terhadap kaedah atau prosedur agihan.
Sedekah bebas diberi kepada sesiapa sahaja, tiada had jumlah tertentu, tiada tempoh tertentu, tiada penilaian terhadap penerima yang perlu dilakukan dan sebagainya.
Namun zakat perlu mengikut kaedah atau prosedur tertentu supaya memastikan ketelusan dan integriti pihak pengurusan zakat di tahap maksimum.
Pihak pengurusan zakat bertanggungjawab dalam memastikan ketepatan penerima asnaf, menentukan kriteria kelayakan asnaf, kesesuaian jumlah bantuan yang diberikan dan sebagainya.
Amanah dan tanggungjawab ini adalah suatu proses yang perlu diberi kepercayaan kepada institusi-institusi zakat dalam mengurus dan mentadbir.

Implikasi agihan dana zakat yang salah dan tidak mengikut prosedur akan menyebabkan kredibiliti institusi zakat dipertikaikan bahkan ditohmah dengan pelbagai tuduhan dan persepsi negatif oleh masyarakat.
Keempat, sedekah tidak sama dengan zakat dari sudut pihak yang bertanggungjawab menguruskan. Sedekah boleh diuruskan dan dilaksanakan oleh sesiapa sahaja baik secara individu atau berkumpulan yang disebut NGO.
Namun zakat diurus oleh institusi-institusi zakat di bawah seliaan dan pantauan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) setiap negeri di Malaysia. Sudah tentu ada perbezaan dalam mengurus dana sedekah dan zakat secara individu atau organisasi.
Amalan bersedekah sangat dianjurkan kepada seluruh umat Islam yang berkemampuan. Ia bukan hanya tugas eksklusif institusi dan jabatan tertentu, bahkan terbuka kepada semua masyarakat untuk turut membantu.
Masyarakat juga perlu memahami dan mampu membezakan antara peranan dan fungsi sesebuah organisasi dalam menyalurkan bantuan, berbanding pihak individu atau NGO yang tidak terikat dengan sebarang prosedur, fatwa dan juga kawal selia pihak audit.
Sinergi semua pihak dalam menyalurkan bantuan akan membantu mengurangkan jurang kemiskinan serta menjamin kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
- Penulis ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.










