Jemaah ada masalah psikologi dibantu kaunselor - Utusan Malaysia

Jemaah ada masalah psikologi dibantu kaunselor

Petugas kaunseling Tabung Haji bertanya khabar kepada beberapa jemaah di Abraj Al-Janadriyah di Mekah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Tabung Haji (TH) akan memilih sekumpulan jemaah yang ada masalah psikologi dan kesihatan mental untuk mengikuti program peneman menje­lang operasi masyair di Arafah, Mina dan Muzdalifah.

Pengurus Kaunseling TH, Mohamad Hanif Napi berkata, pemilihan akan dilakukan beberapa pihak termasuk pengurus maktab, kaunselor, pembimbing ibadat haji Tanah Suci dan pakar kesihatan mulai 19 Jun ini berdasarkan kepada keseriusan kes.

Menurut beliau, jemaah yang dipilih ialah dalam kalangan warga emas yang tiada pengiring tetapi bukannya pesakit terlantar.

“Operasi masyair penting dan ketika itulah mereka ditemani kerana ada dalam kalangan jemaah ada masalah kurang ingat, perlu dibawa ke bilik air dan mewakilkan ibadah melontar jika kurang mampu.

“Kaunseling juga dilakukan sebelum masyair iaitu ketika mereka berada di maktab kerana berdasarkan penga­laman berlaku isu keluarga atau tak selesa tinggal di bilik atas sebab tertentu,” kata beliau di sini baru-baru ini.

Menurut Mohamad Hanif, menjadi tanggungjawab mereka memastikan jemaah dapat menjalankan ibadat dengan sempurna menerusi kaunseling yang menggunakan pendekatan psikologi Islam.

Kata beliau, terdapat lapan anggota petugas akan melakukan ziarah dari bilik ke bilik bagi mengesan sekiranya terdapat isu dalam kalangan peng­huninya.

“Kita mahu jemaah melalui fasa kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental bagi mengimbangi operasi masyair,” katanya.

Kata Mohamad Hanif, unit kaunseling juga menyediakan sudut ekspresi diri dan bilik khas untuk mendengar masalah jemaah di setiap maktab.

“Terdapat tiga kaedah dalam pendekatan itu iaitu pencegahan awal, lawatan silaturrahim dan mengetengahkan infografik kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental dalam aplikasi THhujjaj,” katanya.

Katanya, terdapat kes jemaah mempunyai gangguan fikiran kerana terdapat isu belum selesai di tanah air.

Jadi mereka ini tak bersedia dan ia mengganggu sekali gus tidak dapat melakukan ibadat dalam keadaan sempurna,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×