KUALA LUMPUR: Meskipun sokongan Melayu tidak menjanjikan kemenangan buat Perikatan Nasional (PRN) di enam negeri, parti itu yakin sokongannya meningkat atas beberapa faktor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dalam hal ini, dua negeri sudah pasti menjadi sasaran mereka iaitu Selangor dan Negeri Sembilan, dengan harapan pengundi di negeri itu memberikan PN mandat untuk merampas pentadbiran daripada PH.
Sambil menolak yang parti itu menggunakan pendekatan sentimen perkauman, jelasnya, sokongan orang Melayu datang kepada PN dengan sendirinya berikutan kekecewaan yang dialami khususnya orang UMNO.
“Kita tahu bukan 100 peratus pengundi Melayu akan sokong kita, tetapi kita boleh lihat sokongan orang Melayu itu khususnya pengundi UMNO banyak yang beralih arah kepada PN kerana tidak bersetuju dengan kerjasama DAP, ditambah pula UMNO meminta untuk ahlinya sokong DAP. Sebab itu kami yakin sokongan kepada PN itu akan bertambah mendadak.
“Malah, peningkatan jumlah sokongan itu juga akan memberi isyarat kepada kerajaan hari ini untuk lebih memikirkan soal untung nasib orang Melayu,” ujarnya ketika dihubungi, semalam.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mempersoal dasar kerajaan manakah yang mengkhianati orang Melayu.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ahmad Faizal berkata, ia perlu diperincikan secara halus supaya orang ramai boleh lebih memahami apa yang dimaksudkan dengan perjuangan untuk orang Melayu.
“Memang tiada dasar yang menjelaskan perkara itu, tetapi kita boleh lihat, jika dulu PH memperjuangkan pendidikan percuma, sekarang mana pergi pendidikan percuma? Kos perubatan untuk golongan B40 pun RM50,000. sekarang hanya yang mampu sahaja ada peluang. Bagaimana dengan nasib anak-anak golongan B40 yang ramainya dalam kalangan orang Melayu?
“Tengok pula orang Melayu yang dikhianati, dulu kata No Anwar No DAP, tetapi akhirnya diminta sokong DAP pula. Banyak yang kecil hati. Kos sara hidup semakin tinggi, kalau dulu orang Melayu jual kuih dapat untung RM300, sekarang RM100 sahaja.
“Mana pergi nasib orang Melayu yang banyak berniaga di tepi jalan ini? OPR naik, ringgit tidak kukuh, macam mana ini? Pelabur pun tidak yakin dengan kita,” ujarnya. – UTUSAN










