PETALING JAYA: Kerajaan sedang memperhalusi cadangan pelaksanaan gaji progresif bagi menggantikan gaji minimum yang disifatkan selari dengan peningkatan kos sara hidup.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, gaji minimum RM1,500 sebulan yang menjadi amalan sekarang tidak lagi praktikal dengan peningkatan kos sara hidup.
Bagi tujuan itu, katanya, satu jawatankuasa khas akan dibentuk kerajaan bagi memperhalusi pelaksanaan sistem penggajian baharu tersebut sebelum dibincangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Ogos ini.
“Saya sudah beritahu bahagian dasar untuk membentuk satu jawatankuasa bagi melihat dan mengkaji secara terperinci tentang perkara ini.
“Dalam Ogos nanti saya akan bentangkan gaji progresif pada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Ini tugasan penting untuk saya dan kementerian meneliti kaedah serta formulanya.Sama ada ia dilaksanakan atau tidak kita akan lihat nanti,” katanya baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, kerajaan akan menyelesaikan semua isu berbangkit berkaitan gaji minimum pada bulan ini.
Tambah Sivakumar, pelaksanaan gaji progresif membolehkan majikan mengiktiraf pekerja yang berpengalaman, berkemahiran serta berkelayakan,
Beliau dalam masa yang sama berkata, pelaksanaan gaji progresif itu nanti berkemungkinan mengikut wilayah dan kawasan serta bukan lagi standard seperti sekarang iaitu RM1,500 untuk semua negeri.
“Konsep ini sama seperti mana di Singapura. Ia akan naik berdasarkan tempoh perkhidmatan, pengalaman dan pendidikan. Maknanya, gaji pekerja boleh naik tahun berikutnya dengan mengikut syarat tertentu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sivakumar berkata, pelaksanaan gaji minimum membuka peluang kepada majikan mengambil kesempatan untuk membayar pada kadar rendah iaitu RM1,500 demi meraih keuntungan yang besar
“Kalau awak cakap saya RM1,500, ini minimum. Dalam paling teruk iaitu kalau tidak mampu bayar lebih sekurang-kurangnya itulah bayarannya (RM1,500). Akan tetapi hari ini jadi fenomena pula apabila banyak majikan yang bayar pada kadar minima walhal boleh sahaja bayar RM1,600 atau RM1,800.
“Kalau kita tetapkan paras gaji minimum RM1,700 atau RM1,800 mereka tetap letakkan pada kadar tersebut. Motif utama sebab mahu buat keuntungan besar. Ini situasi semasa. Pada kadar gaji seperti ini, awak pun faham tiada apa yang boleh dilakukan,” jelasnya
“Apatah lagi mereka yang ada kelulusan TVET pun hanya dibayar RM1,500, ini ada sesuatu yang tidak kena.Sebab itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi ada sebut untuk graduan TVET, mereka perlu diberi gaji RM3,000 supaya ada perbezaan. Kalau tidak orang akan fikir cukuplah sekadar belajar setakat SPM,” jelasnya. – UTUSAN











