PETALING JAYA: Separuh daripada kira-kira 2,000 bot zon C di seluruh negara didakwa ‘menyonglap’ diesel bersubsidi nelayan sebelum menjualnya kepada bot-bot C2 dengan margin 25 sen seliter.
Rata-rata pemilik dan pengusaha bot zon C yang ‘melanun’ diesel subsidi ini sebenarnya bukanlah nelayan, sebaliknya tauke vessel yang kaya-raya dengan pendapatan mencecah RM30,000 sebulan bagi sebuah bot zon C malah ada tauke yang dikesan mempunyai sehingga 30 bot zon C yang berharga RM3 juta hingga RM5 juta sebuah.
Kumpulan ‘lanun’ diesel yang berleluasa di Hilir Perak dan Rompin, Pahang ini dipercayai menggunakan seratus-peratus kuota bahan api bersubsidi yang diberikan kerajaan iaitu kira-kira 17,000 liter sebulan namun mereka tidak turun ke laut menangkap ikan.
Sebaliknya, mereka boleh hidup mewah dengan menjual diesel bersubsidi tersebut kepada bot-bot C2, pelanggan di darat serta nelayan asing di tengah lautan.
Rangkaian songlap dan lanun diesel tersebut mengakibatkan kerajaan kerugian RM4.25 juta setiap bulan. Dasar pemberian subsidi sepatutnya membantu ekonomi nelayan dan memastikan bekalan ikan sentiasa banyak tetapi yang berlaku sebaliknya.
Satu sumber industri mendedahkan kepada Utusan Malaysia, kegiatan melanun diesel ini dilihat sendiri dan perbuatan itu berleluasa di kawasan mengisi minyak diesel subsidi di seluruh negara.
“Struktur penyaluran subsidi sejak 2006 ini, bot C2 yang hasil tangkapan lautnya lebih banyak tidak diberikan subsidi berbanding bot kategori C. Secara purata bot C mendapat 17,000 liter kuota diesel subsidi setiap bulan. Sementara bot C2 tak dapat subsidi.
“Jadi bila struktur sebegini, bot C dan C2 ada yang dimiliki oleh tauke yang sama. Bot C dan C2 juga berada di pangkalan yang sama. Bot C dan C2 juga menangkap ikan di lautan yang sama. Bot C2, kalau mereka nak bergerak, mereka terpaksa beli diesel pada harga pasaran semasa iaitu RM2.65.
“Ini mewujudkan suasana di mana tauke bot C2 membeli minyak daripada tauke bot C. Sementara itu tauke bot C pula menjual minyak bertujuan mendapatkan keuntungan segera tanpa turun ke lautan,” kata sumber di sini semalam.
Menurut sumber, selain menjual bahan api tersebut kepada bot C2, lanun yang terdiri daripada tauke dan pemilik bot C tersebut turut menjual diesel bersubsidi kepada pihak-pihak lain yang memerlukan bahan api itu termasuk lori tangki di daratan serta nelayan asing yang dijual di tengah laut.
“1,000 bot C ini mengambil minyak subsidi dan menjual bahan api itu kepada tauke bot C2 dan kepada pihak lain termasuk pihak lain yang memerlukan diesel itu.
“Ini termasuk operator lori, jualan diesel di tengah jalan, lori tangki pindahkan diesel kepada lori lain dan jual kepada tempat lain serta aktiviti menjual diesel subsidi kepada nelayan Thailand dan Vietnam di tengah laut.
“Jadi, 1,000 bot C darab 17,000 liter kuota diesel yang mereka songlap sebulan berjumlah RM17 juta. Mereka ambil untung 25 sen setiap liter, maka mereka untung atas angin RM4.25 juta sebulan,” dedah sumber.
Untuk rekod, dalam muka surat 25 Laporan Risikan Pasaran Tahunan 2019 terbitan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), taburan vessel atau bot nelayan seluruh negara mengikut zon pada 2019 ialah bot zon A berjumlah 21,784; bot zon B berjumlah 3,165; bot zon C 2,491 sementara C2 berjumlah 158 di seluruh negara.
Bagi penggunaan bahan api pada 2019 pula, dalam setahun bot zon A menggunakan 76,846,219 liter diesel; bot zon B gunakan 233,145,198 liter diesel; bot zon C gunakan 357,764,238 liter diesel sementara bot zon C2 menggunakan 258,359 liter. Bermaksud pada 2019, secara purata bot zon C menggunakan 11,968 liter sebulan.
Sepanjang 2019 juga, sebanyak 715,309,698 liter diesel disubsidikan kerajaan kepada nelayan termasuk nelayan darat.
CARA PENYELESAIAN
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, bekas Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang ditemui akhbar ini berkata, sudah tiba masanya kerajaan bertindak mencari penyelesaian kemelut membabitkan ketirisan parah diesel bersubsidi kepada nelayan.
“Saya mencadangkan kerajaan mempertimbangkan dua cara penyelesaian. Pertama, jika mahu mengelakkan tauke vesel C berterusan menjual minyak subsidi kepada vesel C2, maka boleh pertimbangkan untuk memberi subsidi kepada vesel C2 juga.Atau cadangan kedua, kerajaan boleh batalkan subsidi kepada kedua-dua kategori vesel iaitu C dan C2,” katanya.
Syed Abu Hussin berkata, tauke bot C dan C2 hakikatnya adalah tauke yang kaya-raya dan layak dikategorikan sebagai T20, justeru mempersoalkan adakah adil kerajaan menyalurkan subsidi kepada mereka?
“Tauke vesel C dan C2 ini, mereka bukannya nelayan sebaliknya pengusaha dan pemilik kapal nelayan yang megah dan besar. Mereka mengupah orang lain sebagai nelayan.
“Nilai vesel mereka RM3 juta hingga RM5 juta sebuah kapal. Hasil pendapatan RM33,000 sebulan bagi sebuah vesel dan ada tauke yang mempunyai 10 hingga 15 vessel persendirian. Bermakna, mereka menjana pendapatan kira-kira RM300,000 setiap bulan.
“Adakah kerajaan mahu berterusan menyalurkan subsidi kepada T20 sebegini, sedangkan nelayan-nelayan pesisir yang kebanyakannya Melayu miskin papa kedana sehingga mewujudkan jurang di antara dua darjat dengan nelayan bukan Melayu,” katanya. – UTUSAN
INFO GRAFIK
1. 1,000 bot zon C daripada kira-kira 2,000 bot kategori itu menjadi lanun dan songlap diesel bersubsidi kepada nelayan.
2. Lanun diesel itu gunakan kira-kira 17,000 liter kuota diesel setiap bulan untuk dijual secara haram.
3. Pelanggan terdiri daripada tauke bot C2, lori tangki, orang perseorangan dan nelayan asing yang memerlukan bahan api itu.
4. Lanun diesel subsidi jual bahan api pada kadar RM1.90 seliter berbanding harga subsidi RM1.65 seliter, mengaut untung 25 sen bagi setiap liter diesel.
5. Kaut untung lebih RM4 juta setiap bulan hasil melanun diesel, tanpa perlu membawa bot turun ke laut menangkap ikan.











