PADA 23 April 2004, kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu melancarkan Pelan Integriti Nasional (PIN). PIN bertujuan memupuk, menyemai dan membaja sistem kehidupan menjadi sebuah masyarakat bermoral dan beretika yang berpegang kepada nilai-nilai amanah, kejujuran dan ketelusan yang tinggi. Pendekatan PIN ialah mengkoordinasi usaha semua komponen dan sektor dalam gerakan pemantapan integriti.
Untuk itu, Institut Integriti Malaysia (IIM) ditubuhkan bagi memainkan peranan membimbing semua komponen atau sektor masyarakat dan negara. Sinergi pelaksanaan program integriti oleh semua komponen dan sektor diharapkan dapat menyumbang kepada pemantapan integriti seluruh masyarakat dan negara.
Kerajaan yang ada pada hari ini, iaitu kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat menekankan persolan tentang integriti melalui tatakelola yang jauh daripada unsur-unsur rasuah dan penyelewengan. Ia adalah cabaran besar dalam membina masyarakat madani yang berintegriti. Rasuah adalah musuh negara menyebabkan berlaku ketirisan yang boleh menggagalkan pelaksanaan pembangunan kerajaan atau terbantut.
Segala perancangan rapi pembangunan sosioekonomi negara hanya akan nampak hebat di atas kertas tetapi implementasinya gagal disebabkan tingginya jenayah rasuah dan penyelewengan. Rasuah juga boleh menyebabkan imej negara dipandang buruk oleh negara luar. Justeru, komitmen kerajaan hari ini dalam memerangi jenayah rasuah adalah tinggi dan tekad adalah mahu menghapuskannya sehingga ke akar umbi.
Tanggungjawab besar dan berat ini sudah tentu dipikul Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diberi kuasa penuh oleh undang-undang bagi membanteras rasuah di Malaysia. Harapan rakyat mahukan SPRM bergerak dan bertindak without fear or favour atau tanpa gangguan daripada mana-mana pihak sekalipun. Bertolak daripada kesedaran dan kehendak rakyat inilah, Anwar mahukan SPRM bertindak dengan tegas dan berani tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak sekalipun.
Inisiatif memerangi rasuah dengan melaksanakan pelbagai inisiatif telah dibuat kerajaan sebelumnya sejak 2010 lagi, malah ketika kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Namun, rasuah di negara ini tidak pernah reda dan sering menjadi isu dari sudut politik. Pada 2010, penguatkuasaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat diperkenal dan dilaksanakan.
Selain itu sebanyak 14 mahkamah sesyen rasuah ditubuhkan dan mula beroperasi pada Februari 2011. Penubuhan mahkamah khas rasuah ini disusuli langkah melantik hakim yang berpengalaman 15 tahun ke atas bagi mengendalikan perbicaraan.
HOT SPOT
Selain itu, SPRM memberi ruang kepada rakyat untuk mengakses pesalah rasuah melalui perwujudan pangkalan Data Pesalah Rasuah di laman web rasmi mereka. Kerajaan juga melaksanakan proses pusingan kerja bagi individu dan jawatan-jawatan yang dianggap hot spot untuk mengurangkan dan mengelakkan wujud ruang dan peluang perlakuan rasuah.
Pada Februari 2012, SPRM memperkenalkan Program Pegawai Berintegriti Bertauliah (CeIO) yang berperanan merancang, melaksana dan memantau keberkesanan program integriti dan pencegahan rasuah di sektor awam dan swasta. CeIO yang dilantik itu diharapkan dapat menangani isu membabitkan integriti di sesebuah organisasi sehingga peringkat akar umbi. Ekoran itu, banyak agensi penguatkuasaan menubuhkan Unit Pematuhan diketuai CeIO. Antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan SPRM sendiri.
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula menjalinkan persefahaman dan kerjasama erat dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia bagi melatih dan membentuk pegawai-pegawai CeIO. Usaha-usaha tersebut menunjukkan SPRM tidak pernah berputus asa dalam usaha membanteras dan membendung perlakuan jenayah rasuah.
Ada ketikanya usaha-usaha pencegahan rasuah ini kelihatan berjaya berdasarkan laporan-laporan tertentu yang dianggap autentik. Contohnya, berdasarkan tinjauan Transparency International (TI) mengenai Barometer Rasuah Malaysia menunjukkan peningkatan daripada 48 peratus pada 2010 kepada 49 peratus (2011).
Selain itu, Indeks Pemberi Rasuah TI menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan ke-15 sebaris Hong Kong yang dikenali sebagai antara negara paling tegas memerangi rasuah serta memiliki undang-undang rasuah paling komprehensif. Laporan-laporan positif sebegini meningkatkan tahap keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap integriti dan pencegahan rasuah di negara kita.
Namun, sentimen dan persepsi buruk mengenai jenayah rasuah dan penyelewengan di negara kita sering berubah-ubah. Tidak pasti di mana silapnya dalam pelbagai usaha yang telah dibuat, negara tetap berdepan isu peningkatan jenayah rasuah seolah-olah tidak dapat dibendung atau diatasi dengan baik. Isu mengenai rasuah dan penyelewengan juga akan menjadi topik panas setiap kali diadakan pilihan raya umum lalu, iaitu PRU13, PRU14 dan PRU15.
Pelbagai skandal penyelelewengan dana kerajaan dan rasuah dibangkitan secara meluas sehingga menjejaskan kepercayaan dunia luar. Namun, banyak skandal terbabit gagal diselesaikan di mahkamah menyebabkan timbul tanda tanya, apakah ahli-ahli politik kita gemar mencipta isu tentang rasuah dan penyelewengan tanpa cukup bukti konkrit?
Apa pun, komitmen kerajaan hari ini untuk memerangi jenayah rasuah dan isu-isu berkaitan integriti seperti salah guna kuasa dan penyelewengan memang sesuatu yang penting diberi perhatian supaya ia benar-benar dapat dibendung dan diperangi sehingga ke akar umbinya, bukannya atas maksud atau motif-motif kepentingan politik. Kita bimbang akibat permainan politik terhadap isu-isu rasuah ini juga boleh menjejaskan kepercayaan dunia luar terhadap negara. Justeru, integriti dalam politik juga mesti dipelihara. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.











