Sebut sahaja nama pelakon Uchee Fukada mungkin masih belum ada yang begitu mengenalinya, namun gelaran ‘Wongshe Wongshe’ pasti ramai yang kenal.
Pemilik nama sebenar Nurlina Syafiqah Zakbah, 31, mula disebut-sebut ketika memainkan peranan sebagai watak jiran kepoh atau suka menjaga tepi kain orang menerusi drama rantaian popular, Nur.
Dalam pada itu, mungkin ramai juga yang masih tidak tahu pelakon ini sebenarnya bekerja di belakang tabir sebagai penolong pengarah bagi drama terbitan Radius One di bawah sutradara, Shahrulezad Mohameddin.
Kini menerusi satu lagi drama bersiri Takdir Yang Tertulis yang sedang bersiaran di TV3, Uchee sekali lagi menyerlah dan berjaya menghidupkan wataknya dengan kemas sebagai pembantu rumah, iaitu Kak Jo. Impak yang tidak terduga ini aktres ‘bidan terjun’ ini usah disangkal lagi.
Mendekati dengan lebih dekat, Uchee berkata, sebagai seorang pelakon dia sentiasa mencuba untuk berikan yang terbaik dalam menghidupkan watak yang diamanahkan.
“Tak sangka juga selepas watak yang dilakonkan dalam drama Nur kini sekali lagi dalam drama terbaharu nama naik.
“Sebenarnya saya tak ada perancangan apa pun untuk naikkan watak Kak Jo. Cuma saya ada berbincang dengan abang Ijat akan bagaimana nak berikan kelainan dari segi watak yang saya pikul ini.
“Hasilnya, saya buat keputusan untuk pakai gigi palsu jongang, walaupun pada awalnya tak ramai penonton yang sedar itu adalah Uchee,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.
Walaupun jadual Uchee seperti tiada waktu rehat, tetapi demi mewarnai kanvas lakonan dia tidak membataskan peluang yang merisik.
“Alhamdulillah ada produksi yang nampak bakat saya dan ada yang panggil bekerja dengan mereka. Kalau jadual penggambaran tidak bercanggah saya terima dengan terbuka. Ibarat kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.
“Saya rasa bersyukur sangat sebab ramai boleh terima sebagai pelakon walaupun masih ada kekurangan,” tambah Uchee berterima kasih kepada mereka yang selalu menyokong perkembang karier seninya.

CUKUP-CUKUPLAH HINA SAYA
Bukan sekali dua namun sudah acap kali pelakon, Uchee berdepan kata-kata nista daripada segelintir pihak yang menghina rupa paras serta bentuk badannya. Bagaikan dia ‘tidak layak’ untuk bergelar pelakon.
Di tahun 2021 ini, masih ada segelintir pihak yang berfikiran cetek. Mengapa masih ada yang suka meletakkan kriteria tertentu sebagai syarat untuk bergelar anak seni? Tak semestinya cantik itu punya bakat. Ingat!.
Namun, hati Uchee terguris apabila seorang kenalan lamanya tanpa disangka-sangka dikatakan telah melakukan body shaming ke atas dirinya.
Menurut Uchee atau nama sebenarnya Nurlina Syafiqah Zakbah, 31, isu bentuk badan ini tidak patut dijadikan sebagai mukadimah apabila sudah lama tidak berjumpa dengan kenalan.
“Seharusnya tanya khabar bukannya terus serang cakap fasal badan, sebab kita ini perempuan dan isu bentuk badan memang sensitif.
“Allah kurniakan semua manusia ada kecantikan tersendiri. Jadi kita ini kenalah bersyukur,” jelas Uchee.
Tambah pelakon yang terkenal dengan panggilan ‘Wongshe Wongshe’ menerusi drama bersiri Nur itu lagi, hal sedemikian bukan kali pertama berlaku.
“Sebelum ini saya dah banyak kali menjadi mangsa bentuk badan malah muka pun turut dijadikan bahan.
“Awalnya, saya hanya menganggap sekadar gurauan sahaja, tapi bila berjumpa asyik cakap macam itu, memanglah rimas,” luah Uchee sedih.
Terdahulu menerusi IG Live Uchee menasihatkan perbuatan sedemikian tidak baik.
“Saya tak faham kenapa orang nak bercakap tentang fizikal. Tak baik cakap macam ini.
“Usahlah mempertikaikan rupa bentuk seseorang. Saya pergi kerja dan balik penat, malah makan pun tak minta duit dia.
“Privasi saya senang, saya tak kacau orang, orang tak kacau kita,” jelas Uchee tegas.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata peminat dan pengikut turut menyokong apa yang disuarakan oleh pelakon tersebut malah pelakon, Jasmin Hamid turut meninggalkan coretan.
“Mereka adalah golongan manusia yang suka uruskan hal orang lain sampai abaikan adab. Tanpa mereka sedar, mereka sudah menunjukkan akhlak mereka yang sebenar.
“Secara tidak langsung mereka telah pindahkan pahala kepada orang yang dihina. Jangan jadi muflis di akhirat kelak kerana tidak menjaga akhlak,” coretnya.
Dalam perkembangan lain, Uchee kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri Takdir Yang Tertulis arahan sutradara Shahrulezad Mohameddin, watak sebagai pembantu rumah (Kak Jo).
Drama ini ditayangkan di slot Samarinda, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam. Antara barisan pelakon, Nad Zainal (Juweta), Nazim Otman (Azlan), Elvina Mohamad (Ruhila) dan Alvin Chong (Ean).










