Belum masa tambat ringgit

Belum masa tambat ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekarang bukan masa yang sesuai menambat mata wang ringgit seperti pernah dilakukan ketika krisis kewangan Asia pada 1997 kerana ia bakal mengheret negara kepada ketidaktentuan pasaran kewangan dan ekonomi.

Meskipun terbaharu dilaporkan ringgit terus jatuh dan mencecah RM4.60 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu paras terendah dalam tempoh enam bulan tahun ini, tambatan ringgit mempunyai risiko dan bukan langkah terbaik untuk ekonomi Malaysia.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis ekonomi daripada Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ekonomi negara masih kukuh dan belum mencapai tahap krisis kewangan untuk membolehkan langkah tambatan ringgit dalam menangani ketidaktentuan ketara mata wang itu dalam pasaran pertukaran asing.

Katanya, sebarang langkah ke arah tambatan mata wang Malaysia harus bersandarkan alasan kukuh di samping kemampuan kewangan kerajaan untuk mendepani sebarang risiko jika ia dilaksanakan.

“Jika mahu tambat, atas alasan apa kita ingin berbuat demikian? Apakah Malaysia kini berdepan krisis kewangan? Belum lagi.

“Kita belum sampai tahap krisis kewangan yang membolehkan wang ringgit ditambat memandangkan ekonomi Malaysia masih stabil yang didorong sektor-sektor memacu pertumbuhannya.

“Belum sampai tahap krisis kewangan seperti berlaku pada 26 tahun lalu. Namun, Bank Negara buat masa sekarang perlu melakukan pemantauan rapi dan mengambil langkah intervensi jika ringgit mencecah antara RM4.80 dan RM5 berbanding dolar AS,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan ringgit terus jatuh dan mencecah RM4.60 berbanding dolar AS iaitu paras terendah dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Dalam pada itu, RHB Research tidak menolak kemungkinan ringgit boleh mencecah RM5 berbanding dolar AS dalam tempoh sederhana.

Dalam laporannya, RHB Research berkata, unjuran tersebut dibuat berikutan sasaran awal jangka pendek ringgit pada kadar 4.60 sudah dilepasi kelmarin, membawa kepada sasaran jangka terdekat yang disemak semula sebanyak 4.70, dengan potensi mencecah paras RM4.75.

Abu Sofian berkata, kestabilan politik sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi wang ringgit apabila perkara itu mempengaruhi keyakinan pelabur dan sebarang krisis dalaman boleh menyebabkan mereka melarikan diri daripada bertapak ke negara ini.

Katanya, polisi kerajaan dan kebergantungan tenaga asing turut menjadi faktor penting jatuh atau naik nilai ringgit apabila Malaysia masih terlalu berharap kepada import bekalan dan pekerja dari luar negara sekali gus menyebabkan banyak pengeluaran duit ke negara lain.

Beliau berkata, malah sejak kebelakangan ini belum ada satu dasar kukuh ke arah trend pemulihan sekali gus menyebabkan Malaysia masih bergelut dengan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat memperkenal satu dasar ekonomi berdaya saing yang mampu membawa keluar negara daripada ketidaktentuan ekonomi berpanjangan.

“Namun, perkara ini haruslah dibantu dengan kestabilan politik yang banyak mempengaruhi keyakinan orang ramai termasuk pelabur untuk menceburi bidang potensi di negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inkslusif UKM (MINDA-UKM), Prof. Tan Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, penyusutan kadar tukaran ringgit amat membimbangkan dan memerlukan perhatian rapi oleh semua pihak.

Katanya, semua pihak harus bersungguh-sungguh untuk membincangkan kedudukan daya saing dan ekonomi negara juga yang semakin menurun.

“Dalam tempoh 13 tahun, kedudukan daya saing Malaysia berganjak dari kelas belasan, ke kelas dua puluhan dan kini kelas tiga puluhan! Ini tanggapan dunia terhadap kita.
“Penurunan sebegini bukan kejatuhan sementara, bukan bermula dari tahun lepas. Bukan sebab pandemik Covid-19. Ia bersifat trend jangka panjang menurun yang jelas. Petanda yang tidak baik. Semua mesti bertindak bersama,” katanya.

Justeru beliau menegaskan, kini bukan masa berbalah tetapi perlu bertindak dan bersungguh-sungguh serta komited memperbetul struktur ekonomi negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×