Satu tan ikan, sotong laris dalam sejam

Satu tan ikan, sotong laris dalam sejam

ORANG ramai memilih ikan segar untuk dibeli hasil tangkapan nelayan di Pantai Telaga Papan, Setiu, Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Hampir satu tan hasil laut ikan dan sotong yang baru ditangkap nelayan di Pantai Telaga Papan di sini laris dalam tempoh sejam pagi semalam apabila dijual dengan harga yang murah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai mula berkumpul di pantai tersebut seawal pukul 7.30 pagi kerana mahu mendapatkan bekalan ikan yang segar secara terus daripada nelayan tempatan.

Seorang pengunjung, Mohd. Ehsan Rahmat, 39, berkata, penduduk Setiu memang sentiasa menanti kepulangan nelayan ke pantai pada hari-hari tertentu di fasa ‘bulan gelap’ kerana hasil tangkapan banyak dan harganya lebih murah berbanding di pasar basah biasa.

“Suasana di sini memang sangat meriah bagaikan pesta kerana pengunjung akan membeli pelbagai jenis hasil laut tanpa kehadiran orang tengah yang mengaut keuntungan.

“Alhamdulillah, ini rezeki kami dapat membeli ikan yang segar, murah dan boleh menjadikannya stok simpanan untuk dimakan pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Antara ikan yang dijual nelayan ialah ikan selar pada harga RM18 untuk satu kilogram (kg), lolong (RM10), cencaru (RM22) tongkol (RM8) dan sotong (RM10 hingga RM30 bergantung pada saiz).

Seorang kakitangan swasta, Nur Amirah Aisyah Husin, 32, pula berkata, dia datang ke pantai itu kerana mahu membeli ikan dalam jumlah yang banyak untuk menyambut kepulangan adik-beradiknya dari Kuala Lumpur, Selangor dan Johor hari ini.

“Kebetulan musim cuti sekolah dah bermula, jadi emak pesan suruh beli banyak sikit nak bagi anak-anak yang duduk jauh makan ikan segar dari laut.

“Rumah kami memang ada peti ‘freezer’ yang agak besar untuk menyimpan stok ikan segar yang dibeli dari nelayan tempatan kerana selain segar, kita juga boleh tawar menawar harga kerana sudah lama kenal antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, nelayan, Jamaludin Mohamad, 56, berkata, dia bersama 40 awak-awak dengan menaiki dua bot akan menangkap ikan di sekitar kawasan Zon C1 dan Zon B1 kerana hasil tangkapan akan lebih lumayan pada fasa bulan gelap.

“Orang kampung biasanya akan tahu dan menunggu di tepi pantai sebaik sahaja kami mendarat untuk mendapatkan pelbagai jenis ikan yang mereka mahu.

“Ramai berpuas hati kerana dapat membeli terus dari nelayan tanpa adanya orang tengah dan secara tidak langsung mereka dapat berjimat-cermat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN