Pendidikan awal bermula dari rumah, bukan sekolah

Pendidikan awal bermula dari rumah, bukan sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERPADUAN bermula dari rumah. Ini salah satu daripada inti pati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Negara peringkat kebangsaan di Tebingan Kuching, baru-baru ini. Hal ini menarik perhatian saya kerana seperti yang kita semua ketahui, kalau mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya. Benar sekali, nilai perpaduan mesti ditanam dalam diri setiap daripada kita sejak awal lagi agar ia sebati di jiwa.

Seri Paduka turut bertitah, rakyat seharusnya menjadikan nilai perpaduan sebagai aset negara yang utama. Rakyat harus sedar betapa tingginya nilai perpaduan kepada kita semua. Perpaduan ialah asas kepada keutuhan dan kemakmuran negara bangsa. Perkara ini harus tersemat kukuh di hati kita. Hidup bermasyarakat tentu ada pasang surutnya, maka kita mesti sentiasa berusaha agar kerukunan hidup bermasyarakat yang dibina selama ini kekal terpelihara dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Kita tidak mahu negara hancur akibat kerakusan mereka yang sanggup memecahbelahkan rakyat demi kepentingan diri.

Pendidikan awal kanak-kanak harus bermula dari rumah. Ibu bapa mesti menunaikan tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya dan bukannya mengharapkan nilai-nilai ini ditanam di sekolah. Komunikasi dengan anak-anak sangatlah penting dalam membina hubungan kekeluargaan yang kukuh dan akrab. Kanak-kanak yang baik budi pekertinya akan membesar menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab, prihatin dan tidak hanya mementingkan diri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kadangkala kita terlalu alpa tanggungjawab dan hanya mengharapkan pihak lain melaksanakannya untuk kita. Jadikanlah rumah sebagai gedung ilmu dan sekolah pertama anak-anak. Pendidikan kerohanian penting untuk membina sahsiah diri yang baik. Pokoknya, pendidikan duniawi semata-mata tidak akan dapat melahirkan insan yang benar-benar berjiwa insaniah. Malah, sikap materialistik semata-mata tanpa diimbangi aspek kerohanian akan menyebabkan seseorang itu jiwanya kosong walaupun mempunyai harta yang banyak.

Namun malangnya, kesibukan mencari rezeki sering dijadikan alasan kenapa sesetengah tiada masa untuk anak-anak. Kalau di bandar, ibu bapa yang berkemampuan menghantar anak-anak ke tadika bermula pada usia muda. Pada masa sama, mereka juga dihantar mengikuti kelas membaca, kelas muzik dan sebagainya. Justeru, apabila tiba di rumah, masing-masing sudah terlalu penat dan membawa hal sendiri.

Melestarikan perpaduan dalam negara yang rakyatnya terdiri daripada bangsa dan suku kaum berbagai-bagai bukanlah satu usaha mudah. Ia sukar untuk dicapai tanpa iltizam dan sifat keterbukaan daripada semua pihak yang terlibat.

Pokoknya, kerajaan mesti bijak, komited dan amanah dalam menguruskan keadaan dan setiap warga mesti sedar tanggungjawab masing-masing serta sanggup memainkan peranan untuk merealisasikan hasrat murni ini.

 

TRAGEDI rusuhan kaum 13 Mei 1969 sepatutnya menginsafkan serta memberi pengajaran tentang betapa pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat.

13 MEI 1969
Bagi saya, perpaduan tidak akan terjalin tanpa keikhlasan dan sikap saling hormat menghormati daripada semua pihak terbabit. Yang menjadi masalahnya ialah apabila ada pihak yang bersikap mementingkan diri sendiri. Itulah punca kepincangan dalam hidup bermasyarakat. Apabila ada pihak yang mahu merebut hak orang lain, sudah tentu ia akan mencetuskan perbalahan. Maka, semua pihak perlu berlapang dada dan berjiwa besar agar perpaduan dapat diperkukuhkan.

Tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 sepatutnya menginsafkan kita serta memberi pengajaran tentang betapa pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat. Berlapang dadalah dan belajarlah daripada sejarah. Janganlah kita cuma pandai menuding jari dan mencari kesalahan orang lain. Jangan pula kita memutarbelitkan sejarah untuk menutup kesalahan kita. Kita tidak mahu tragedi sebegini berulang lagi.

Agenda perpaduan bukanlah asing bagi saya kerana sejak kecil diajar untuk menghormati orang lain tanpa mengira bangsa dan keturunan. Keluarga kami mempunyai kawan-kawan rapat daripada bangsa-bangsa lain dan kami saling menghormati di antara satu sama lain. Tambahan pula saya juga mempunyai darah campuran Melayu, Cina, Yemen dan banyak lagi. Justeru, saya juga sebahagian daripada mereka. Baik buruk seseorang itu bukan bergantung kepada bangsanya tetapi perilaku diri mereka.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Apabila tuan tanah berbesar hati menerima kita, hormatilah mereka dan budaya setempat. Itulah yang saya pelajari daripada moyang yang berasal dari Guangdong. Menghormati mereka yang menerima kedatangan kita dengan tangan yang terbuka. Jangan sampai riak dan lupa kebaikan yang telah dihulurkan kepada keluarga kita suatu waktu dahulu. Jangan kita tamak sehingga diberi betis hendak paha. Moyang saya tidak pernah melupakan asal usulnya tetapi dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan sekeliling.

Apa yang dikesalkan pada hari ini ialah apabila terdapat pemimpin yang bukan sahaja gagal menjadi ejen perpaduan, malah bertindak memecahbelahkan perpaduan masyarakat demi mendapat kuasa. Para pemimpin harus bersikap bertanggungjawab dan menunjukkan contoh baik kepada rakyat. Hentikan sikap sempit perkauman dan raikanlah perbezaan dalam kalangan kita tanpa mengubah identiti sebenar diri.

Semoga rakyat mengangkat nilai perpaduan sebagai aset paling utama negara demi kemakmuran hidup anak bangsa. Kita harus hidup bersatu padu memajukan negara yang dicintai berasaskan undang-undang dan prinsip negara yang telah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita semua sudah diperuntukkan hak masing-masing, maka jangan bersikap tamak dan hormatilah hak orang lain. Kita perlu jujur menyambut salam perpaduan dan berusaha menyuburkan ukhuwah dalam kalangan kita.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×