PETALING JAYA: Masalah kebanjiran warga asing pelbagai negara bukan salah Jabatan Imigresen sebaliknya ia disebabkan dasar kerajaan berhubung kemasukan warga asing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pesara Kakitangan Imigresen Malaysia (PBKIM), Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, kajian semula ke atas semua dasar membabitkan warga asing perlu dilakukan sebagai langkah mengawal keberadaan kumpulan itu di negara ini.
“Saya terpanggil mewakili PBKIM untuk memberi maklum balas berhubung laporan Utusan Malaysia.
“Antara lain yang disebut dalam laporan itu mengenai kehadiran 200,000 warga asing yang didakwa masuk tapi tidak keluar selain cadangan supaya jabatan diletakkan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ingin saya tegaskan bahawa senario ini berpunca akibat dasar.
“Kerajaan kena kaji semua dasar membabitkan warga asing. Contohnya dasar pekerja asing, dasar pelajar asing, dasar membabitkan ekspatriat dan sebagainya. Sebab apabila tiada kajian dan apabila warga asing sudah ramai, maka kepada siapakah segala kesalahan akan diletakkan? Masyarakat pasti akan menyalahkan Jabatan Imigresen atas alasan jabatan itu yang bagi masuk,” kata beliau semalam.
Menurut beliau, banyak dasar kerajaan tersebut turut mewujudkan pelbagai lapisan birokrasi seterusnya menyukarkan kawal selia terhadap warga asing.
PEMUTIHAN
“Ini termasuk birokrasi di sebalik program-program pemutihan warga asing selain diburukkan lambakan agensi dan ejen pekerja asing tidak bertauliah atau sudah gulung tikar yang menyukarkan kawalan ke atas pekerja asing yang dibawa masuk,” kata beliau yang juga pakar kriminologi bebas.
Oleh itu, kata Shahul, adalah tidak adil untuk masyarakat menyalahkan Jabatan Imigresen dalam isu membabitkan warga asing sedangkan agensi dan ejen-ejen tidak bertauliah yang membawa masuk kumpulan itu di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kelemahan yang berlaku di jabatan ini adalah kerana agensi-agensi yang dilantik menguruskan pekerja asing. Ini yang masyarakat tak nampak. Contohnya, ada agensi pekerja asing yang sudah ditutup, jadi apa kesannya kepada warga asing yang dibawa masuk? Akhirnya nanti, akan pergi kepada Jabatan Imigresen dan masyarakat akan tuduh jabatan.
“Untuk rekod, ejen-ejen ini ada yang tidak bertauliah. Ada ejen di bawah KSM. Kemudian, yang meluluskan pekerja asing KSM serta KDN. Jabatan Imigresen ini cuma sekadar pelaksana saja kepada dasar-dasar tersebut,” jelas beliau.
SUMBER
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan cadangan dari sumber agensi keselamatan agar fungsi Jabatan Imigresen diletakkan di bawah PDRM seperti di praktis lazim Thailand dan Indonesia untuk mengawal warga asing.
Dalam perkembangan berkaitan, Shahul menggesa kerajaan segera melaksanakan program menghantar pulang warga asing yang tidak sah.
“Warga asing kena tinggalkan Malaysia dalam tempoh misalnya enam bulan. Kedua, hapuskan birokrasi, misalnya untuk meninggalkan negara ini kena pergi pejabat untuk mendaftar atau menggunakan agensi-agensi pekerja asing. Ketiga, kena ada ketelusan dan mansuhkan red tape. Macam pemutihan misalnya ada terlalu banyak syarat itu dan ini,” katanya.
Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) dalam kenyataan menolak sebarang cadangan meletakkan jabatan itu di bawah mana-mana agensi lain.
Presidennya, Khairil Niza Khairudin berkata, dakwaan Jabatan Imigresen gagal mengawal warga asing tidak berasas dan tidak adil.
Menurut beliau, Jabatan Imigresen telah melaksanakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI )mengikut undang-undang dan dasar seperti ditetapkan kerajaan. – UTUSAN










