PETALING JAYA: Raya Airways Sdn. Bhd. (Raya Airways), mengalu-alukan ketibaan pesawat `penukaran penumpang ke kargo’ (P2F) Airbus A321 (A321 P2F) pertama di Asia Tenggara, yang menawarkan syarikat penerbangan itu kapasiti muatan tambahan lebih 27.5 tan kargo setiap penerbangan dan jarak 3,778 kilometer (km) pada muatan maksimum.
Menurut Raya Airways, pesawat itu dipajak daripada syarikat usahasama ST Engineering, Juniper Aviation Investments dan diuruskan oleh aset penerbangan ST Engineering, manakala penukaran dilakukan oleh Elbe Flugzeugwerke (EFW), usahasama antara ST Engineering dan Airbus.
Jelasnya, syarikat telah mengembangkan kekuatan dengan penambahan A321 P2F, menjadikan jumlah pesawat kepada enam. A321 P2F akan meningkatkan keupayaan syarikat untuk memenuhi kehendak pelanggan yang lebih luas, meluaskan jangkauan rangkaian dan meningkatkan kapasiti pengendalian kargo.
“Selaras dengan hala tuju strategik untuk memperkukuh rangkaian dan kekerapan penerbangan, Raya Airways telah menunjukkan komitmen terhadap pertumbuhan melalui peningkatan ketara dalam operasi penerbangan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut syarikat penerbangan logistik itu, pada 2022, Raya Airways mempergiatkan penerbangan antarabangsa ke/dari Nanning (China), dengan lonjakan daripada empat kepada sebelas penerbangan setiap minggu.
Begitu juga, penerbangan ke/dari Singapura telah ditambah daripada empat hingga sembilan penerbangan mingguan, dan penerbangan ke/dari Jakarta (Indonesia), dari lima hingga tujuh penerbangan mingguan.
Pendekatan proaktif syarikat penerbangan terhadap pengembangan pasaran baharu dicontohkan lagi dengan pengenalan penerbangan mingguan ke Ho Chi Minh City dan Hanoi (Vietnam).
Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Najib Ishak berkata, pencapaian itu adalah peristiwa penting kepada syarikat dalam erah baharu pengangkutan kargo udara yang mampan dengan pengenalan pesawat A321 P2F yang cekap bahan api di Asia Tenggara.
Kata beliau, pesawat itu mempunyai isipadu kargo yang tinggi, konfigurasi pintu yang cekap ruang, pusat graviti yang seimbang, dan sistem pemuatan kargo yang fleksibel.
“Ia menjadikannya sangat sesuai dengan pelbagai jenis (perkhidmatan) kargo yang kami sediakan. Fleksibiliti sedemikian penting dalam membuka jalan untuk masa depan syarikat yang berskala dan mampan,” jelasnya. – UTUSAN










