Elly Arifin tetap enggan buka cerita - Utusan Malaysia

Elly Arifin tetap enggan buka cerita

ELLY ARIFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Meski sudah setahun episod kegagalan rumah tangganya berlalu, menghairankan kerana sehingga kini Elly masih mengunci rapat berhubung punca sebenar yang menyaksikan perpisahan itu berlaku.

Melayangkan pertanyaan itu, Elly memberitahu, perkara itu terlalu peribadi untuk dicanang pada semua dan meski sudah tidak bersama lagi, ia bukanlah satu tiket untuknya sewenang-wenang membuka pekung mana-mana pihak.

“Sedangkan masalah rumah tangga pun tak baik untuk kita ceritakan pada orang, inikan pula hal dalam kelambu dan peribadi begitu. Saya ambil pendekatan untuk tidak mahu mengeruhkan keadaan.

“Lagipun buat apa hendak bermusuhan? Walau kami sudah berpisah, hubungan kami baik-baik sahaja, selesa jalani kehidupan masing-masing pada waktu ini,” katanya.

Justeru, bagi Elly, cukuplah hanya dia dan bekas suaminya sahaja yang tahu punca perpisahan dalam klisenya potongan ayat ‘banyak hati yang perlu dijaga’.

TUTUP PINTU HATI?

Dalam pada itu, ditanya sama ada dia sudah menutup pintu hati untuk menerima mana-mana lelaki yang sudi menjadi pengganti, Elly lekas-lekas menafikan.

Katanya, kecewa dengan hubungan lalu tidak bermakna dia sudah serik untuk kembali bergelar isteri seseorang. Cuma, buat masa ini, izinkan sahaja dia menikmati masa sendirinya di samping memperbaiki diri.

“Saya berkawan sahaja dengan semua orang, belum ada teman istimewa pun. Kahwin sekali lagi, tentulah mahu. Siapa yang tak hendak bukan?

“Tetapi sekarang saya fikir lebih baik keutamaan diberikan pada kerjaya dahulu. Andai katalah jodoh datang secara tiba-tiba, siapalah saya untuk menolak ketentuan Tuhan bukan?” katanya.

Bagaimanapun, kongsi Elly, dia tidak mahu berlama-lama bercinta andai sudah bertemu dengan pasangan yang sesuai lantaran menganggap sebagai seorang dewasa, masing-masing pasti sudah matang untuk tahu hala tuju dan masa depan sendiri.

Dalam perkembangan kerjaya, dia yang baru sahaja mengucapkan selamat tinggal pada dunia HLive, Astro, menganggap ia bukan satu keputusan mudah sementelah sudah banyak ilmu dan pengalaman yang diraih bersama pasukan lama.

“Tujuh tahun membina kerjaya pengacaraan dan penerbitan dengan Astro, keputusan itu dibuat setelah difikirkan secara masak-masak. Saya berani ambil risiko, tatkala negara sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi mencuba meneroka dunia lain.

“Syukur kerana tidak lama keputusan itu dibuat, saya ‘dipinang’ oleh agensi pengurusan bakat, D’Alpha Legacy dan kini bernaung di bawah mereka.

“Alhamdulillah ada beberapa projek seni sudah disusun atur oleh syarikat dan insya-Allah, doakan saya terus maju jaya ya!” katanya.

 

ELLY selesa solo dan memberi fokus dalam membina namanya dalam persada seni.

CUKUP JANGAN TANYA LAGI 

Tiba-tiba muncul satu hantaran berbentuk penjelasan dibuat oleh pengacara, pelakon dan selebriti tanah air ini dalam ruangan Instagram, menceritakan perihal dirinya yang sudah lama bercerai.

Bukan apa, rasanya sejak setahun berlalu, perkara itu pernah dijelaskan oleh Elly Arifin tanpa disorok-sorok sementelah rumah tangganya dengan pelawak dan pelakon, Jiggy Masin sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Maka, apa relevannya perkara yang sama dibangkitkan kembali jika ia cuma akan menambahkan luka di hati? Iyalah, bukan semua orang seronok mendakap episod pahit dalam hidup. Tiada manfaatnya.

Berpeluang bertanyakan perkara tersebut pada empunya diri, kata wanita berusia 32 tahun ini, langsung tiada niat di hatinya untuk meraih perhatian murahan daripada mana-mana pihak, tetapi sesuatu harus dilakukan bagi mengelak lebih banyak fitnah dan kekeliruan.

“Setahun yang lalu saya sudah mengumumkan perceraian dengan bekas suami. Tetapi mungkin ketika pengumuman itu dibuat, semua orang sedang panik dengan kehadiran gelombang pertama Covid-19.

“Ada sahaja berita mengenai perceraian saya itu diterbitkan dalam ruangan akhbar dan media massa, tetapi orang tak perasan sangat sebab ada isu yang lebih besar berlaku.

“Lagipun, saya fikir siapalah diri ini untuk semua orang kisah dan ambil tahu, popular pun tidak. Disebabkan itu, tidaklah pula saya tergamak mencanang selalu,” katanya.

Pun begitu, Elly tidak menyangka sehingga kini masih ada yang menganggap dirinya bergelar isteri orang sehinggakan ada yang tidak berpuas hati dan melontarkan amarah dalam ruangan komen dan mesej peribadi, melabel dirinya tidak pandai menjaga batas seorang isteri.

“Apalah yang hendak dimarah-marah? Kalau dilihat rapat dengan kawan-kawan lelaki atau sesiapa pun, tidak ada yang salahnya sebab saya bukannya isteri orang lagi.

“Hairan juga bila ada yang tidak percaya. Malah, asyik cuba mengingatkan dan menasihatkan saya supaya jaga batas dan ingat pada suami. Tolonglah, Jiggy dan saya sudah lama berpisah,” katanya.

 

ELLY kekal bersahabat dengan bekas suami dan mahu meneruskan hidup tanpa dibebani persoalan tentang statusnya,

Mengaku jika sekali dua ada yang bertanya dia akan menjawab dan melayan, pelakon drama Semusim Rindu dan Split ini bagaimanapun mula bengang apabila perkara itu seolah-olah sengaja dibangkitkan.

Kata Elly, jujurnya dia sudah tidak mahu dikaitkan dengan kisah rumah tangganya bersama Jiggy, tetapi apabila terlalu ramai yang keliru, penjelasan lain harus dibuat.

“Kalau saya tak jelaskan, nanti orang lain pula menanggung dosa fitnah. Fahami niat saya, bukan untuk meraih publisiti, tetapi ada sebab kenapa saya perlu tegaskan status terkini.

“Jujurnya memang saya tak selesa. Benda dah lepas, sudah-sudahlah. Jangan tanya lagi. Hormatilah saya yang sedang cuba membina hidup baharu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×