PETALING JAYA: Sebanyak 830 buah sekolah di seluruh negara dikenal pasti mempunyai bangunan daif berskala enam dan tujuh yang perlu diberi keutamaan untuk dinaik taraf atau dibina bangunan gantian supaya selamat untuk diduduki.
Daripada jumlah itu, sebanyak 560 sekolah dikategorikan pada skala enam manakala 270 lagi berada pada skala tujuh.
Berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Dewan Rakyat baru-baru ini, terdapat 13 negeri dan wilayah seluruh negara mempunyai sekolah daif di kawasan masing-masing.
Sekolah daif berskala enam dan tujuh tertinggi dicatatkan di Sarawak iaitu sebanyak 365 buah, diikuti Sabah 289 buah.
Turut mencatatkan bilangan sekolah daif pada skala sama adalah di Perak iaitu 50 buah, Kedah (38), Negeri Sembilan (18), Johor (16), Kelantan (13), Terengganu (12), Pahang (8), Selangor (8), Pulau Pinang (7), Melaka (5) dan sebuah di Labuan.
Menurut KPM, keutamaan akan diberikan kepada bangunan yang berada pada skala enam dan tujuh untuk dinaik taraf atau dibina bangunan gantian.
“Pembinaan bangunan gantian ini dilaksanakan secara berfasa melalui peruntukan yang diluluskan oleh agensi pusat bagi setiap Rolling Plan dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun.
“Bagaimanapun, kelulusan dan pelaksanaan projek ini adalah tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan,” katanya.
Mengulas isu itu kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, sekolah daif dikenal pasti berdasarkan beberapa tujuh peringkat untuk menentukan tahap keselamatannya.
Menurutnya, sekolah yang dikategorikan pada skala enam dan tujuh adalah premis yang tidak selamat dan tidak boleh diduduki lagi.
“Maksudnya keadaan sekolah tersebut sangat berbahaya kepada murid dan guru. Kebiasaannya, apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah ia akan dirobohkan untuk pembinaan semula.
“Sudah pasti proses itu menuntut peruntukan yang sangat besar dan difahamkan lebih 800 sekolah daif pda skala enam dan tujuh sudah dikenal pasti KPM untuk diberi perhatian,” katanya.
Jelasnya, kebanyakan sekolah daif terdapat di Sarawak dan Sabah disebabkan ia dibina menggunakan papan, namun, setelah 50 tahun, premis tersebut tidak lagi selamat untuk diduduki.
Pada Februari lalu, sebanyak RM900 juta peruntukan keseluruhan disediakan kepada KPM untuk mengatasi masalah sekolah daif dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Media melaporkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu adalah untuk 380 sekolah daif di seluruh negara yang diberikan tumpuan dalam belanjawan pada tahun ini.
Mengulas mengenai peruntukan tersebut, Anuar berkata, jumlah diberikan sudah pasti tidak mencukupi untuk menaik taraf atau membina semula sekolah daif berskala enam dan tujuh di seluruh negara.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan boleh melaksanakan penaiktarafan atau pembinaan semula sekolah berkenaan secara berfasa untuk beberapa tahun mendatang.
“Apa yang kita harapkan adalah dalam tempoh lima tahun ke depan, ada peruntukan khusus diberikan kepada sekolah daif supaya tindakan untuk menyelesaikan masalah tersebut dapat diatasi secepat mungkin.
“Pada masa sama, perlu ada kawalan dan pemantauan terhadap peruntukan diberikan supaya tidak berlaku sebarang ketirisan. Kita mahu setiap sen dikeluarkan oleh kerajaan digunakan sepenuhnya bagi menyelesaikan isu tersebut,” katanya.
Tegas beliau, isu sekolah daif adalah satu masalah berpanjangan dan ia bergantung kepada kepimpinan semasa untuk menelitinya.
Bagaimanapun, menurutnya, di bawah pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri menjadikan isu sekolah daif sebagai antara beberapa keutamaan berdasarkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan.
“Perdana Menteri juga sudah menegaskan beberapa kali berkaitan dengan usaha untuk menyelesaikan isu sekolah daif ini sehingga diberikan peruntukan khusus.
“Kita lihat usaha untuk menyelesaikan isu sekolah daif juga diberi perhatian tinggi oleh Perdana Menteri bukan saja dengan peruntukan khusus bahkan ketegasannya dalam menangani perkara tersebut,” katanya. – UTUSAN











