KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membeli semua 17,708 tiket penerbangan sehala bagi laluan Semenanjung Malaysia ke Sabah serta Sarawak dan menjual semula pada harga RM300 sempena perayaan Pesta Keamatan dan Hari Gawai.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan memperuntukkan subsidi sebanyak RM5.8 juta hingga RM11.4 juta bagi pembelian tiket tersebut meliputi bayaran perolehan baki tiket penerbangan dan bayaran sewa khas penerbangan.
Beliau berkata, jualan tiket yang akan dibuka bermula pada 20 Mei ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat pulang beraya di kampung.
Menurut Anthony Loke, jualan tersebut melibatkan 8,903 tiket bagi tempoh 27 hingga 29 Mei bersempena Pesta Keamatan dan 8,805 tiket bagi tempoh 29 hingga 31 Mei untuk Hari Gawai.
“Kementerian Pengangkutan telah berunding dengan semua syarikat penerbangan domestik iaitu Malaysia Airlines, Air Asia, Batik Air dan MyAirlines supaya menjual tiket sehala ke Sabah dan Sarawak bagi tempoh berkenaan pada harga RM300.
“Baki harga tiket yang melebihi RM300 akan dibayar oleh kerajaan dan harga ini tidak termasuk cukai dan fi,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin.
Anthony Loke berkata, harga tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang bagi laluan-laluan domestik yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak akan ditetapkan sebanyak maksimum RM300 atau mengikut harga sebenar tambang sekiranya harga tiket tersebut kurang daripada RM300.
“Pemberian bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak sempena musim perayaan ini diharapkan dapat mengurangkan beban kewangan pengguna yang ingin pulang ke kampung halaman di untuk tempoh perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2023,” katanya.
Ditanya sama ada kerajaan akan meneruskan inisiatif ini pada masa akan datang bagi perayaan lain, Anthone Loke berkata, ia belum boleh diputuskan ekoran inisiatif itu merupakan projek rintis.
“Ini merupakan kali pertama kerajaan melaksanakan inisiatif ini dan saya hendak jelaskan ini bukan harga siling tetapi kita membeli semua tiket dan jual pada satu harga.
“Saya juga tidak boleh beritahu sekarang sama ada ia akan dilaksanakan untuk perayaan akan datang memandangkan apa yang kita lakukan sekarang adalah dinamik,” katanya. – UTUSAN










