PETALING JAYA: Malaysia muncul sebagai pemain utama dalam pasaran pusat data global dengan menarik pelaburan berbilion dolar daripada syarikat teknologi antarabangsa.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, sokongan kerajaan melalui dasarnya menjadikan Malaysia sebagai pasaran utama pusat data di rantau Asia Pasifik (APAC).
Katanya, tahap ketersambungan yang tinggi, populasi yang ramai, banyak tanah yang kompetitif dari segi kos, tenaga mampan yang murah dan kedudukan geografi negara ini di tengah-tengah ASEAN dan bersebelahan dengan Singapura juga merupakan antara faktor Malaysia menjadi pasaran utama data.
“Malaysia juga mempunyai sambungan yang sangat baik ke seluruh Asia dan dunia melalui 29 rangkaian kabel dasar laut dengan 14 stesen pendaratan.
“Tiga kabel dasar laut tambahan mungkin akan beroperasi dalam talian dalam beberapa tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kashif, kebanyakan penganalisis menjangkakan pasaran e-dagang di Malaysia akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun 13.6 peratus menjelang 2027 dengan e-dagang dijangka bernilai AS$17 bilion (RM76.42 bilion) pada tahun sama.
“Populasi di Malaysia merupakan golongan muda, celik digital serta cenderung ke arah mudah alih dan hanya kira-kira lapan peratus sahaja mencecah usia persaraan, manakala 23 peratus pula berumur 14 tahun ke bawah.
“Selain itu, 89 peratus rakyat Malaysia merupakan pengguna telefon pintar dan internet di mana ia merupakan antara kadar tertinggi di Asia Tenggara dan populasi muda dan digital ini bakal memacu pasaran e-dagang negara yang berkembang pesat,” katanya.
Tambah beliau, negara berada di landasan yang pantas ke arah pendigitalan selanjutnya dan sebagai contoh, inisiatif JENDELA akan membawa kepada pelaburan sebanyak RM21 bilion dalam perkhidmatan jalur lebar pantas.
Katanya, komuniti perniagaan juga pantas menerima manfaat pendigitalan dengan kira-kira tiga perempat daripada syarikat Malaysia telah menerima pakai beberapa jenis perkhidmatan awan.
“Dorongan kuat Malaysia ke arah penggunaan 5G memanfaatkan pasaran pusat data dan sudah pun ada peningkatan permintaan. Pengumuman bahawa Malaysia mungkin melancarkan rangkaian 5G kedua mungkin akan meningkatkan penggunaan,” katanya.
Kashif berkata, untuk rekod terdapat 33 pusat data di Malaysia, di mana sekurang-kurangnya sedozen lagi dalam perancangan pembangunan manakala Cyberjaya, Kuala Lumpur dan Selangor merupakan lokasi teratas untuk pusat data, diikuti Johor. – UTUSAN











