DARI perkampungan nelayan biasa, Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis, berubah wajah sepenuhnya menjadi antara lokasi tarikan pelancongan utama di negeri ini yang mengamit kehadiran pelancong dari seluruh negara termasuk dari luar negara.
Hasil cetusan idea Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda sulung baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, lokasi Program Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis ini, menyajikan pemandangan dan suasana memukau.
Kini, pelbagai tarikan baharu, turut wujud di kawasan berkenaan.
Baginda dan Puteri Sharifah Khatreena, mahu melihat tranformasi di perkampungan berkenaan selain bertujuan menjadikan kampung nelayan itu sebagai contoh kepada masyarakat setempat dan ia menjadi realiti.
Keceriaan di setiap rumah penduduk yang berwarna-warni terserlah indah.
Lorong-lorong kawasan di hias menarik dengan pelbagai hiasan lain.
Jambatan Tuanku Syed Putra yang tersergam indah, sekali gus menjadikan perkampungan kecil ini cukup sempurna sebagai salah satu lokasi tarikan pelancongan.
Jambatan ikonik sejak tahun 1961 itu menghubungkan penduduk dari dua buah kampung iaitu Kampung Seberang Tok Pi dan Seberang Ramai dengan pemandangan dari atas jambatan tersebut cukup memukau.
Perkampungan Seberang Ramai, merangkumi tujuh buah kampung iaitu Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Seberang Jaya, Kampung Tandiap, Kampung Seberang Alor, Kampung Baru Seberang dan Kampung Pulau Ketam dengan penduduk sekitar 4,000 orang.
WUJUD SEJAK 1920
Di fahamkan perkampungan ini wujud sejak awal tahun 1920-an. Waktu itu, ada enam laluan dengan penduduk hanya menggunakan titi kayu yang menghubungkan antara rumah ke rumah.
Perubahan tersebut menyaksikan penduduk di situ mula menitik berat soal menjaga kebersihan bagi mengekalkan keindahan kampung berkenaan selain menjadi lubuk rezeki kepada penduduk setempat.
Projek pengindahan tersebut dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP) dengan kerjasama Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri dan pelbagai agensi serta jabatan kerajaan serta masyarakat setempat.
Ada 20 stesen pembelajaran diwujudkan di kampung berkenaan hasil inisiatif Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai dalam menjayakan pelaksanaan projek pembelajaran berasaskan komuniti tersebut.
Projek yang mendapat kerjasama beberapa pihak seperti Jabatan Pendidikan negeri, MAIPs dan komuniti setempat itu turut mendapat pengiktirafan apabila SK Seberang Ramai disenaraikan antara lima sekolah terbaik di Malaysia untuk bertanding dalam anugerah World’s Best Schools anjuran T4 Education.
BERI PERUBAHAN
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. berkata, pelaksanaan program berkenaan, membawa perubahan besar kepada masyarakat di kawasan Kampung Seberang Ramai.
Antaranya daripada segi kebersihan dan pengindahan fizikal kampung, peningkatan taraf kemudahan serta prasarana selain menjadi produk pelancongan.
“Ia turut membuka peluang penduduk setempat menjana pendapatan dengan kehadiran pelancong di situ.
“Ini termasuklah mengekalkan dan memulihara warisan serta budaya setempat, pelaksanaan program akademik kepada anak-anak penduduk, latihan kemahiran dan peningkatan kompetensi serta peningkatan keselamatan setempat dan komuniti.
“Pelaksanaan Projek Diraja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai ini berjaya mengangkat kawasan kampung tradisi nelayan itu kepada sebuah destinasi pelancongan yang mempunyai potensi untuk dikembangkan.
“Pelbagai inisiatif dilaksanakan pelbagai pihak, mula menampakkan hasil positif kepada persekitaran serta penduduk di kawasan kampung berkenaan,” katanya.
Sementara itu, pengunjung, Yasir Sobri,30, berkata, dia membawa ahli keluarga dari Sungai Petani, Kedah untuk melawat kampung nelayan warna-warni ini yang sering tular di media-media sosial.
Pembaharuan dilaksanakan di perkampungan nelayan ini sangat cantik dengan rumah-rumah berwarna-warni selain lorong-lorong yang dihiasi indah.
“Lokasi ini memang cantik dan sangat berpontensi besar menjadi salah satu lokasi tarikan pelancongan. Kalau dilihat, pengunjung yang datang ke Perlis akan singgah di sini,” katanya.
Pengunjung, Rizal Nazri,40, dari Kelantan pula berkata, Perlis kini menjadi antara tumpuan pelancong dengan Kampung Seberang Ramai ini menjadi antara salah satu lokasi tumpuan.
“Saya membawa keluarga berjalan sehingga ke seluruh kampung, bagi menyaksikan keindahan rumah dan lorong-lorong seterusnya menuju ke Jambatan Tuanku Syed Putra. Siapa sangka, Perlis kini menjadi antara tumpuan dan mempunyai banyak lokasi-lokasi menarik khususnya di perkampungan ini,” katanya.









