PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) melalui rangkaian penerbangan Malysia Airlines, Firefly dan MASwings, menawarkan potongan sehingga 40 peratus bagi tiket penerbangan domestik dan antarabangsa melalui kempen jualan pertengahan tahun bermula 15 hingga 28 Mei ini.
Melalui Malaysia Airlines, pelanggan boleh mendapatkan tiket kelas ekonomi bermula dari RM99 termasuk semua bagi laluan sehala untuk penerbangan dalam Semenanjung Malaysia, manakala ke Sarawak dan Sabah pada harga RM119 dan RM179.
Untuk perjalanan lebih selesa, pelanggan boleh mendapatkan tiket kelas perniagaan pada harga bermula dari RM429 sehala termasuk semua, bagi destinasi di Semenanjung Malaysia, sementara Sarawak (RM799) dan Sabah (RM899).
“Alami penerbangan ke bandar-bandar terbaik ASEAN dan destinasi antarabangsa lain termasuk Chennai, Bengaluru, Mumbai, Guangzhou, Beijing, Shanghai, Adelaide, Perth dan Aukland, serta penerbangan antara Kota Kinabalu-Taipei dengan tiket bermula RM249 sehala termasuk semua, untuk kelas ekonomi.
“Harga tiket kelas ekonomi termasuk percuma 20 kilogram bagasi, bagasi kabin seberat 7 kilogram, makanan ringan atau makanan dan minuman percuma; dan hiburan dalam penerbangan hiburan yang menawarkan pelbagai pilihan daripada program TV, filem,
muzik dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Firefly menawarkan potongan 25 peratus untuk penerbangan domestik dan destinasi ASEAN.
MASwings pula menawarkan potongan 20 peratus untuk penerbangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Selain itu, pelanggan boleh menikmati tambang diskaun melalui ejen pelancongan yang mengambil bahagian semasa MATTA FAIR berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dari 19 hingga 21 Mei 2023,” jelasnya.
Menurut MAG, pelanggan boleh menikmati 50 peratus bonus Enrich Points pada semua penerbangan Malaysia Airlines apabila membuat tempahan semasa tempoh jualan. – UTUSAN










