PETALING JAYA: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ketika rakyat sedang bergelut dengan kos kehidupan yang meningkat menyebabkan lebih ramai bakal berdepan masalah sehingga ada yang harta mereka seperti rumah dirampas selain diisytiharkan muflis.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, beliau menerima peningkatan aduan susulan pengumuman kenaikan OPR sebelum ini.
Katanya, setiap hari 4PM menerima sekurang-kurangnya 50 aduan daripada rakyat yang sedang berdepan pelbagai masalah berkaitan kewangan dan hutang yang meningkat disebabkan OPR.
“Apabila hutang meningkat, rakyat tidak mampu nak bayar dan akhirnya mereka dimufliskan. Apa akan jadi? Hidup rakyat musnah, berapa banyak kepincangan dan kemusnahan perlu dihadapi oleh rakyat.
“Seharusnya sebelum menaikkan OPR lakukan kajian terlebih dahulu, dapatkan persetujuan rakyat bukan hanya orang-orang berkepentingan.
“Sebenarnya kepentingan OPR ini kepada siapa? Nak menyenangkan siapa? Ia hanya menguntungkan bank sedangkan mereka setiap masa untung. Rakyat yang susah sekarang ni,” katanya semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Bank Negara Malaysia (BNM) meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 25 mata perpuluhan kepada tiga peratus.
Rosland berkata, beliau kesal dengan kenaikan OPR yang tidak memberi kebaikan kepada rakyat tetapi hanya terus menekan rakyat sehingga terpaksa menghadapi kehilangan harta dan bergelut dengan kenaikan rakyat.
“Berapa ramai rakyat pulang ke kampung kerana terpaksa duduk dengan keluarga kembali. Mereka terpaksa duduk dalam keadaan ‘huru-hara’ kerana ramai ahli keluarga di bawah satu bumbung,” katanya. – UTUSAN










