PETALING JAYA: Sempena Hari Jururawat Sedunia tahun ini, Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway menghargai lebih daripada 2,000 jururawat mereka yang berdedikasi serta menyumbangkan sepenuh jiwa dan raga kepada keperluan kesihatan setiap individu dan komuniti.
Hari Jururawat Sedunia disambut pada 12 Mei, iaitu sempena ulang tahun kelahiran perintis kejururawatan moden Florence Nightingale.
Sambutan bertemakan “Jururawat Kami. Masa Depan Semua” (Our Nurses. Our Future.) pada tahun ini bertujuan menangani cabaran kesihatan global serta meningkatkan taraf kesihatan bagi setiap individu.
Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Dr. Seow Vei Ken berkata, sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, SMC berusaha menyediakan standard penjagaan kesihatan terbaik dan kejayaan tersebut merupakan hasil usaha daripada jururawat yang terlatih dan penuh semangat.
“Dengan kepakaran klinikal profesional serta pengalaman meluas, kami pasti akan mengubah landskap perkhidmatan penjagaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi memberikan standard perkhidmatan tertinggi secara berterusan, SMC buat julung kalinya menganjurkan kursus asas penjagaan rapi kanak-kanak kepada para jururawat di Malaysia, baru-baru ini.
Diketuai oleh Perunding Pediatrik Intensivis, Dr. Anis Siham Zainal Abidin, kursus bertujuan mengembangkan peranan jururawat serta mengoptimumkan penjagaan dan pengurusan kanak-kanak serta keluarga mereka, merangkumi ruang lingkup bidang klinikal mereka.
SMC kini mengembangkan hospitalnya untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa yang mana ini memberi peluang kepada warga kerja, termasuk jururawat untuk mengembangkan kerjaya mereka.
Selaras dengan perkembangan itu, SMC menyedari keperluan jururawat berkelayakan dan menawarkan biasiswa penuh untuk ijazah serta diploma dalam bidang kejururawatan bagi mereka yang berminat meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.
Hospital tersebut juga membiayai yuran pengajian sepenuhnya serta perbelanjaan kos sara hidup mereka sehingga tamat pengajian, pada masa yang sama melengkapkan bakal jururawat dengan pengalaman praktikal yang diperlukan untuk memulakan kerjaya bermanfaat itu.
Pengarah Kumpulan Kejururawatan SMC, Chan Lai Hong berkata, penjagaan klinikal kini lebih kompleks dan khusus, lantas mendorong golongan profesional untuk mempelajari kaedah-kaedah baharu dengan cepat.
“Matlamat kami adalah untuk memberi inspirasi dan dorongan kepada jururawat kami mencapai matlamat mereka. Kejururawatan bukanlah hanya satu profesion, ia merupakan satu minat yang mendalam. Apabila anda sangat menyukai apa yang anda lakukan, ia akan membuahkan hasil yang baik,” katanya. – UTUSAN










