KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang cerah menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor berdasarkan persempadanan semula yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2018.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, persempadanan semula itu dilihat memberi kekuatan kepada 34 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana 60 peratus daripadanya adalah majoriti Melayu.
Menurut beliau, perubahan tersebut sekali gus memberi kredit kepada PN untuk menewaskan kerajaan negeri sedia ada yang kini di bawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH).
“Kalau mengikut ramalan berdasarkan majoriti kawasan Melayu yang kuat itu, PN ada peluang. Jumlahnya dalam 34 DUN, sebab itu saya katakan kepada kepimpinan UMNO dulu, dengan adanya semangat Muafakat Nasional (MN), MN boleh menang.
“Tetapi dah UMNO lebih suka dengan DAP daripada PN dan perpaduan Melayu, apa kita boleh buat,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
SPR pada tahun 2018 mengesyorkan perubahan nama pada 12 kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tanah Melayu.
Dalam usul tersebut turut mengesyorkan tiada perubahan bilangan kerusi Parlimen dan DUN di Tanah Melayu, menjadikan bilangan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kekal 222 kerusi manakala kerusi DUN kekal 587 kerusi.
Mengulas lanjut, Noh berkata, UMNO BN kali ini mempunyai kekuatan yang lebih sekiranya bersama dengan PN sekali gus 34 kawasan DUN di bawah sasaran mereka.
Namun, kata beliau, perkara itu tidak akan berlaku, malah keadaan lebih teruk apabila UMNO dilihat sukar menarik minat orang Melayu apabila memilih bekerjasama dengan PH.
“Saya pernah kata kepada kepimpinan UMNO dulu, kalau kita bersama dengan Melayu, kita boleh menang 10, tiga Pas, tiga Bersatu, Sungai Buloh boleh menang, Sepang boleh menang. Itu ramalan saya.
“Saya nampak begitulah, ini pengalaman saya ketika bersama dengan UMNO, tetapi kalau berdasarkan keputusan PRU15, UMNO tidak menang satu kerusi pun,” ujarnya lagi.- UTUSAN











