Buat duit melalui stok foto - Utusan Malaysia

Buat duit melalui stok foto

ANTARA 10 laman web popular bagi platform stok foto.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK semua orang menceburi bidang fotografi dengan matlamat utamanya adalah untuk mendapatkan wang.

Fotografi adalah seni artistik. Tarikan itu bukan datangnya semata-mata pada potensi pendapatan tetapi lebih kepada keinginan, minat dan sukakan kreativiti.

Namun begitu perkara yang menarik tentang seni fotografi ini adalah walaupun ia merupakan hobi menyeronokkan, tetapi pada masa sama ia dapat dijadikan profesion sekaligus menghasilkan pendapatan.

Jika anda seorang jurugambar yang ingin menjana pendapatan lebih, anda boleh menceburi bidang stok foto.

Stok fotografi adalah istilah daripada stock photo bagi gambar-gambar dalam pelbagai platform laman web yang digunakan oleh pembeli untuk siaran kandungan visual, berita, blog, laman web sehinggalah kepada iklan atau bahan promosi.

Terdapat banyak syarikat menerusi platform laman web menawarkan jualan gambar. Syarikat-syarikat ini menawarkan dan memberi ruang kepada jurugambar menyumbang gambar-gambar terbaik mereka dengan menawarkan royalti setiap gambar terjual.

Setiap platform laman web fotografi ada peraturan dan garis panduan berbeza tentang imej yang boleh disumbang dan memerlukan kelulusan sebelum gambar dipamerkan dalam galeri platform tersebut. Contohnya, terdapat peraturan ketat mengenai isu pemilikan dan hak cipta pada mana-mana gambar yang disumbang.

Ini termasuklah jika gambar yang membabitkan individu tertentu maka keperluan bagi mendapatkan tandatangan tanda persetujuan yang dikenali sebagai model release yang membolehkan imej digunakan bagi tujuan komersial. Begitu juga dengan peraturan yang akan menghalang daripada menggunakan gambar mengandungi bangunan, logo dan jenama tertentu.

Untuk pembeli gambar sememangnya laman web stok foto ini sangat membantu dalam pencarian imej dikehendaki.

Sebagai contoh, jika seseorang memerlukan imej berkualiti tinggi bagi gambar pasangan suami isteri yang sedang melancong di suatu tempat menarik, maka melalui carian dari laman web platform stok foto ini mampu menawarkan pelbagai pilihan gambar diperlukan.

LEBIH MURAH

Kos mendapatkan gambar juga lebih murah berbanding kos diperlukan untuk mengupah jurugambar mendapatkan model, lokasi serta lain-lain keperluan yang memakan belanja yang tinggi.

Secara purata, jurugambar yang menyumbang gambar untuk stok foto mampu menjana paling minimum sekitar RM0.50 sen setiap gambar yang dimuat turun bagi jualan bebas royalti.

Harga ini berbeza bagi setiap penyumbang mengikut kepada tahap aktif dan kadar jumlah gambar yang disumbangkan. Jika berada tahap tertinggi, jurugambar mampu mendapatkan sehingga RM5 bagi sekeping gambar yang dimuat turun.

Terdapat juga pembeli mahukan gambar beserta lesen hak cipta yang mampu menjana pendapatan bermula dari RM300 yang boleh mencecah kepada RM5,000 bergantung kepada jenis dan tahap eksklusif gambar tersebut.

Platform ini bagaikan perpustakaan besar yang menyimpan pelbagai koleksi dengan pelbagai imej dengan pilihan berbeza untuk dibeli.

Anda mungkin perlu belajar memahami keperluan dan kehendak laman web platform stok foto ini kerana setiap laman web fotografi mempunyai idea jenis imej-imej yang dicari pelanggan.

Apa yang perlu dilakukan adalah menghasilkan foto berkualiti tinggi untuk dimuat naik ke dalam laman web platform stok foto. Ini seterusnya boleh dijadikan satu pekerjaan sambilan atau sepenuh masa.

Semakin banyak gambar anda berada di galeri jualan laman web stok foto, maka makin cerah peluang cari duit lebih. Setiap gambar yang dimuat turun pastinya menjadi pendapatan pasif, tanpa anda sedari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×