PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) meluluskan pembiayaan berjumlah lebih setengah bilion ringgit kepada 27,202 pemohon pembiayaan peribadi patuh syariah Ihsan-i, di bawah program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurut MBSB Bank, setakat kelmarin, pihaknya menerima 108,284 permohonan bagi mendapat kemudahan tersebut dengan pembiayaan RM561 juta namun hanya 49,130 daripada pemohon layak dan 27,202 permohonan diluluskan.
Ini bermakna sejumlah 59,154 atau 54 peratus lagi permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat diberi pinjaman di bawah inisiatif FSA2.
“Bagi permohonan Ihsan-i yang tidak berjaya, ini disebabkan beberapa faktor seperti pemohon berstatus muflis dan Nisbah Khidmat Hutang (Debt Service Ratio) yang tinggi,” kata MBSB Bank dalam kenyataan semalam.
Bagaimanapun, MBSB Bank menjelaskan, terdapat segelintir pemohon berstatus muflis mendapat kelulusan pinjaman tersebut dan perkara itu dalam pengetahuan bank.
SINGKAT
Menurut institusi kewangan itu, perkara tersebut berlaku disebabkan jumlah permohonan yang terlalu banyak dalam tempoh masa singkat sehingga menyebabkan berlakunya keralatan kepada sistem menilai status muflis pemohon.
“Pemohon-pemohon tersebut pula membuat pengisytiharan yang mereka bukan muflis ketika permohonan. Demi kepentingan pemohon yang terbabit, MBSB Bank tidak akan mengenakan sebarang caj terhadap jumlah pembiayaan Ihsan-i yang telah dimasukkan ke dalam akaun simpanan mereka. Status Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka juga tidak akan terjejas,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan sama, MBSB Bank berkata, keseluruhan proses Ihsan-i daripada peringkat permohonan ke peringkat pengeluaran pembiayaan telah dilakukan sepenuhnya secara dalam talian.
Maknanya, pemohon tidak perlu hadir ke cawangan MBSB Bank dan pemprosesan permohonan masih giat dijalankan dalam usaha memastikan pemohon dapat menerima maklumbalas dengan kadar segera.
KONSEP
MBSB Bank turut menjelaskan, pembiayaan Ihsan-i menggunapakai konsep Tawarruq.
“Antara kelebihannya, ansuran bulanan rendah tahun pertama kerana pelanggan hanya perlu membayar bayaran keuntungan, tiada caj proses ataupun caj penamatan awal.
“Ihsan-i juga memberi rebat atau Ibra’ daripada jumlah keuntungan sekiranya pembayaran baki pembiayaan ditamatkan lebih awal. Kadar keuntungan Ihsan-i sangat kompetitif berbanding dengan kadar Pembiayaan Peribadi sedia ada.
“Ansuran bulanan Ihsan-i boleh bertambah atau berkurang tertakluk kepada perubahan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate – OPR), namun jumlah keseluruhan ansuran bulanan yang dibayar tidak boleh melebihi Harga Jualan. Harga Jualan ini telah dimaklumkan kepada pelanggan di dalam tawaran pembiayaan yang perlu dipersetujui,” jelasnya.
Bank itu turut menjelaskan mengenai jumlah ansuran bulanan tinggi yang tular di media sosial kelmarin, bahawa baki pembiayaan yang tertera sebanyak RM35,601.12 itu adalah Harga Jualan berdasarkan kepada kadar keuntungan siling 15.0 peratus bagi tempoh 10 tahun.
TEMPOH
“Namun, sekiranya OPR tidak berubah sepanjang tempoh pembiayaan dan kadar keuntungan kekal pada 4.5 peratus, jumlah ansuran bulanan yang akan dibuat adalah RM22,749.48 dan bukannya dua kali ganda.
“Penjelasan terperinci telah dimaklumkan kepada pelanggan melalui laman sesawang khas Ihsan-i iaitu www.fsa2mbsbbank.com yang merangkumi Soalan-Soalan Lazim, Lembaran Penjelasan Produk, Deklarasi Pelanggan serta Terma & Syarat Pembiayaan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif menggesa kerajaan tidak mengambil kira status muflis dan nilai hutang untuk meluluskan pembiayaan FSA2 pencarum.
Rosland berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku kerana pencarum sudah mempunyai cagaran simpanan KWSP sebagai jaminan untuk membuat pinjaman.
Menurut beliau, kerajaan perlu pertimbangkan keperluan khas untuk pemohon dengan tidak lagi melihat status muflis dan nisbah hutang sebelum meluluskan pinjaman FSA2.- UTUSAN










