KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif di Malaysia dengan proses perbincangan dan libat urus mengenainya sudahpun bermula melibatkan pelbagai sektor, menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, sistem gaji itu selaras dengan sasaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) supaya nisbah hasil ekonomi yang diberikan kepada pekerja dalam bentuk gaji dan pampasan meningkat daripada sekitar 36 peratus sekarang kepada 40 peratus.
Katanya, kerajaan mahu memastikan kerangka dasar itu lebih mampan dan dapat dilaksanakan secara positif oleh semua pihak serta memberi manfaat kepada pekerja dan majikan.
“Untuk itu, ia perlu dibincangkan secara menyeluruh bukan sahaja mengenai dasar kerana juga diseimbangkan dengan kehendak kerajaan dan ekonomi negara supaya gaji itu naik secara berkala dan selaras dengan kemampuan syarikat-syarikat dalam negara.
“Jika tidak dilaksanakan dengan berhati-hati, ia akan memberi kesan negatif kepada syarikat-syarikat dan kita tidak mahu gaji dinaikkan tetapi banyak syarikat terpaksa gulung tikar,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran Buku Panduan Pertumbuhan Bersih UK-Malaysia di sini, semalam.
Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay.
Pada majlis tersebut, United Kingdom (UK) dan Malaysia bekerjasama membangunkan sektor pertumbuhan bersih sebagai tindak balas kritikal terhadap cabaran global yang mendesak perubahan iklim.
Pakatan strategik itu bertujuan memacu inovasi dan pelaburan dalam sektor tenaga dan pembuatan, serta mempromosikan kewangan hijau dan pembangunan infrastruktur yang mampan.
Melalui kerjasama itu juga, UK dan Malaysia melancarkan Buku Panduan Pertumbuhan Bersih untuk menggalakkan peluang pertumbuhan bersih di Malaysia, sambil memberikan pandangan dan cadangan untuk kerjasama antara organisasi Malaysia dan UK untuk menangani perubahan iklim dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Buku panduan itu mengenal pasti peluang kerjasama dengan syarikat UK yang boleh memberikan kepakaran dan pandangan yang berharga untuk organisasi di Malaysia.
Ia juga menilai perjalanan ekosistem dan pertumbuhan bersih UK, menonjolkan kepakaran UK yang boleh melengkapkan usaha Malaysia untuk memajukan agenda tersebut. Ia juga menilai perjalanan ekosistem dan pertumbuhan bersih UK, menonjolkan kepakaran UK yang boleh melengkapkan usaha. – UTUSAN










