PETALING JAYA: Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (TRA) atau moratorium bayaran balik pinjaman yang dilaksanakan kerajaan dengan bantuan institusi perbankan bagi membantu rakyat menghadapi tempoh sukar akibat pandemik Covid-19 didakwa hanya indah khabar dari rupa.
Menerusi beberapa aduan yang disampaikan pengguna kepada Utusan Malaysia, bantuan tersebut dilihat menjerat pengguna apabila yang ditawarkan bukanlah pengecualian bayaran semula pinjaman sebaliknya penstrukturan dan penjadualan (R&R) semula pinjaman.
Lebih buruk lagi, walaupun R&R yang ditawarkan dapat meringankan beban pengguna dalam tempoh tiga ke enam bulan, pengguna terpaksa menanggung tempoh hutang yang lebih lama dan peningkatan faedah yang mendadak selepas itu.
Seorang pengguna yang hanya ingin dikenali sebagai Hamid berkata, bank menawarkan kepada beliau R&R yang menambah tempoh pinjaman selama lima tahun.
Tawaran tersebut termasuk pengecualian bayaran selama tiga bulan pertama dan bayaran yang lebih rendah selama setahun, kemudian bayaran bertambah secara berperingkat untuk tahun-tahun seterusnya.
“Tetapi tempoh pinjaman meningkat sehingga lima tahun lagi, tamat pada 2031.
“Ketika itu usia kereta telah mencecah 12 ke 13 tahun, baru dapat langsaikan bayaran. Faedah pula meningkat dengan sangat banyak, kira-kira 20 peratus daripada faedah asal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Lebih malang lagi, menurut Hamid, tawaran tersebut tidak datang dengan pilihan lain.
“Kata bank, take it or leave it. Saya hanya ada pilihan untuk susah sekarang atau susah pada masa hadapan,” katanya.
Seorang lagi pengguna yang mahu dikenali sebagai Fiza berkata, sekalipun bank tidak mampu melaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman secara automatik seperti tahun lalu, bank seharusnya memberi beberapa pilihan supaya pengguna dapat menentukan program bayaran balik yang terbaik dengan keadaannya.
Dia yang menerima tawaran R&R sama namun dari bank yang berlainan berkata, bank boleh memikirkan keuntungan ketika ini tetapi ia tidak sepatutnya menjerat pengguna dan memburukkan lagi situasi kewangan pengguna.
“Kami mengharapkan penyelesaian menang-menang tapi apa yang berlaku, bank menang dan kami kalah,” katanya.
Bagi Pensyarah Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob moratorium diperkenalkan untuk membantu golongan peminjam dalam jangka pendek.
Namun katanya, bank perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan para peminjam tidak terasa terbeban dengan sebarang penstrukturan baharu.
“Moratorium yang ditawarkan bank bukan bermaksud peminjam tidak perlu bayar langsung dalam tempoh tertentu kerana ia tetap melibatkan penstrukturan semula bayaran dan memanjangkan tempoh pinjaman.
“Mereka akan rasa tertipu kerana kurang arif mengenai moratorium,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Justeru, Abu Sofian meminta pihak bank lebih bertanggungjawab jika benar-benar ikhlas ingin membantu peminjam meringankan beban mereka.
“Moratorium sangat membantu para peminjam yang betul-betul terdesak, ia beri mereka ruang untuk bernafas.
“Kita tidak tahu berapa lama situasi pandemik Covid-19 dan PKP ini, jadi bank harus menggunakan budi bicara supaya tidak memberikan kesan besar kepada peminjam,” katanya. – UTUSAN











