BYD lancar tiga pusat 3S di Lembah Klang

BYD lancar tiga pusat 3S di Lembah Klang

MAJLIS pelancaran Pusat 3S BYD di Ara Damansara, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Motors, cabang automotif Sime Darby Berhad dan BYD, pengeluar kenderaan tenaga baharu yang terkemuka di dunia, mencatat satu lagi kejayaan dengan pelancaran rasmi tiga pusat 3S di Lembah Klang.

Terletak secara strategik di Ara Damansara, Glenmarie dan Cheras, pusat-pusat tersebut menyasarkan untuk menyediakan akses, kemudahan dan perkhidmatan jualan dan selepas jualan terbaik untuk pelanggan BYD dalam kawasan Lembah Klang.

Anak syarikat Sime Darby Motors, Sime Darby Beyond Auto (SDBA) baru-baru ini telah melancarkan pusat 3S BYD di Ara Damansara.

Menurut syarikat itu, SDBA telah melabur kira-kira RM 11 juta untuk pusat BYD 3S baharu di Ara Damansara. Pusat itu terletak di atas kawasan binaan kira-kira 19,375 kaki persegi dan dilengkapi dengan kemudahan terkini dan konsep runcit yang mencerminkan identiti jenama BYD.

“Pusat ini terletak di atas kawasan binaan kira-kira 19,375 kaki persegi dan dilengkapi dengan kemudahan terkini dan konsep runcit yang mencerminkan identiti jenama BYD. Kemudahan ini merangkumi sejumlah empat ruang kerja dengan kapasiti untuk servis hingga 270 unit kenderaan sebulan dengan jumlah 48 pekerja yang berkhidmat di kemudahan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Majlis pelancaran pusat baharu itu telah diadakan baru-baru ini bagi meraikan kejayaan penting mereka, turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Jeffri Salim Davidson.

Jeffri Salim berkata, sebagai satu daripada pemain utama dalam industri automotif, pembukaan tiga pusat BYD 3S adalah bukti komitmen syarikat ke arah memacu lebih banyak kenderaan elektrik (EV) diterima pakai dalam kalangan rakyat Malaysia dan pada masa yang sama kami berusaha untuk menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan bertaraf dunia kepada pelanggan BYD.

“Kami gembira dapat menjalin hubungan yang kuat dengan rakan kongsi pengedar kami – Sisma Auto dan Millenium Autobeyond – dan kami berharap dapat menawarkan kenderaan BYD yang inovatif dan lestari kepada rakyat Malaysia yang memenuhi keperluan mobiliti mereka dan menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau,” katanya.

Pengasas dan Pengerusi BYD, Wang Chuanfu pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan Sime Darby Motors untuk membawa kenderaan inovatif mereka dengan pengalaman pemanduan yang hebat, teknologi hijau kepada semua rakyat Malaysia.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Sime Darby Beyond Auto untuk pembukaan pusat BYD 3S yang pertama, menandakan titik penting bagi pertumbuhan kami di wilayah ini. BYD akan membawa masuk produk dan teknologi yang lebih maju ke pasaran Malaysia untuk pengalaman mobiliti kehidupan hijau yang lebih baik,” katanya.

BYD ialah sebuah syarikat teknologi tinggi yang mengkhusus dalam usaha memanfaatkan inovasi teknologi untuk menambah baik kehidupan. Diasaskan pada bulan Februari 1995 sebagai sebuah syarikat pembuat bateri boleh cas semula, BYD kini terlibat dalam pelbagai perniagaan meliputi kenderaan, transit rel, tenaga baharu dan elektronik, dengan lebih daripada 30 taman perindustrian di China, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Brazil, Hungary, dan India. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×