'Untung besar hilang rasa takut' - Utusan Malaysia

‘Untung besar hilang rasa takut’

ANTARA pagar yang ditebuk penyeludup di kawasan ‪jalan keselamatan sempadan Padang‬ Besar, Perlis, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: “Salah memang salah, tapi itulah sumber pendapatan kami sejak sekian lama.”

Demikian kongsi seorang bekas penyeludup berusia 47 tahun enggan dikenali sambil memaklumkan keuntungan besar menghilangkan rasa takut untuk terus melakukan kerja-kerja penyeludupan.

Bekas penyeludup itu mengakui dalam tempoh buat kerja menyalahi undang-undang tersebut, dia tahu sentiasa berisiko ditangkap.

Malah, sebelum menyeludup ketum, aktiviti penyeludupan sebelum ini tertumpu kepada VCD cetak rompak, petrol dan minyak masak subsidi.

Bagaimanapun, aktiviti penyeludupan kini lebih menumpukan kepada daun ketum kerana harganya mahal di Thailand.

Katanya, dia dahulu pernah melakukan kerja-kerja menyeludup VCD cetak rompak sekitar lewat 1990-an sehingga awal 2000 sebelum berubah kepada daun ketum yang mendapat permintaan jauh lebih tinggi di Thailand, khususnya sejak 10 tahun kebelakangan ini.

Katanya, kerja-kerja menyeludup tidak memerlukan masa yang lama iaitu sekitar lima hingga 10 minit dengan meletakkan barangan di kawasan-kawasan tertentu sebelum pihak di sebelah Thailand mengambil barangan tersebut.

“Sekali jalan kita bawa kira-kira 200 kilogram (kg) daun ketum yang diisi dalam guni. Guni berkenaan dipindahkan ke negara jiran melalui lubang-lubang pagar keselamatan yang ditebuk. Selain itu, kita juga boleh membaling melepasi pagar sempadan.

“Sebelum itu mereka sudah berunding dengan pembeli Thailand yang menunggu di luar pagar negara mereka. Pendapatan lumayan hasil seludup itu sekali gus menghilangkan rasa takut,” katanya.

Tambahnya, kerja-kerja menyeludup ini sudah menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan khususnya penduduk-penduduk setempat sejak sekian lama meskipun secara kecil-kecilan.

Malah katanya, ada yang hanya bekerja dengan tauke-tauke penyeludupan ini dengan memperolehi pendapatan sekitar RM100 sehari atau lebih.

“Ramai yang telah ditangkap tetapi tidak pernah serik. Apabila keadaan kembali reda mereka akan kembali melakukan aktiviti ini (seludup). Kalau kena tangkap bayar denda atau ikat jamin sekitar beberapa ribu sahaja,” katanya.

Seorang lagi bekas penyeludup berusia 42 tahun yang enggan namanya didedahkan pula berkata, dia sempat melakukan kerja-kerja penyeludupan dalam tempoh lima sehingga enam bulan sahaja.

Katanya, antara pengalamannya ialah terpaksa meniarap dalam semak ketika kenderaan pasukan keselamatan melakukan rondaan sebelum kembali menyambung aktiviti memindahkan daun ketum ke negara jiran.

“Kerja kami lebih mudah kerana kebanyakan pagar sempadan telah ditebuk. Bila ada anggota ronda, kami cepat-cepat pindahkan barangan.

“Saya melakukan aktiviti ini dengan seorang rakan secara kecil-kecilan sekitar 100 kilogram sekali jalan,” katanya yang kini melakukan kerja-kerja kampung.

Difahamkan, harga daun ketum di Thailand kini naik sekali ganda iaitu mencecah RM180 sekilogram berbanding sebelum ini sekitar RM80 hingga 100 sekilogram. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×