TANJONG KARANG: Susulan cuaca panas di hampir semua negeri, sekolah-sekolah di seluruh negara dilarang mengadakan aktiviti di luar bilik darjah termasuk merentas desa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pekeliling berhubung perkara itu berkuat kuasa pada Rabu lalu mesti dipatuhi semua guru besar dan pengetua di seluruh negara.
Menurut beliau, keputusan larangan itu melibatkan semua kegiatan luar termasuk sukan, perkhemahan dan merentas desa.
“Pekeliling ini membabitkan sesi persekolahan pada waktu pagi atau petang dan pembelajaran hanya dijalankan sepenuhnya dalam kelas atau bilik darjah,” kata beliau selepas Program Ziarah Selamat Hari Raya Cikgu di Tanjong Karang di sini semalam.
Kata beliau, larangan terkini itu meliputi garis panduan baharu yang ditetapkan kementerian selepas turut memberi kelonggaran pemakaian pakaian sukan berikutan cuaca panas ketika ini.
Tambah beliau, KPM sentiasa memantau keadaan cuaca dan suhu semasa dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). – UTUSAN











