PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.0 peratus.
Keputusan MPC itu mengejutkan dan sekali gus menolak jangkaan majoriti pakar ekonomi sebelum ini yang meramalkan OPR akan dikekalkan pada 2.75 peratus buat masa ini.
Bank pusat itu dalam satu kenyataan memaklumkan, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.
Katanya, memandangkan prospek pertumbuhan dalam negeri yang terus berdaya tahan, MPC menilai bahawa kini adalah masa yang tepat untuk terus mengembalikan tahap akomodasi monetari ke paras yang wajar.
“Berikutan keputusan ini, MPC telah mengakhiri rangsangan monetari yang bertujuan untuk menangani krisis Covid-19 bagi menggalakkan pemulihan ekonomi.
“Susulan kekukuhan ekonomi Malaysia yang berterusan, MPC juga mengakui perlunya pendirian dasar monetari yang wajar bagi mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan.
“Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi. MPC akan terus memastikan pendirian dasar monetari kekal konsisten dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya dalam kenyataan.
OPR dinaikkan bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.
Bagaimanapun BNM mengambil langkah mengekalkan OPR kepada 2.75 peratus pada mesyuarat MPC Januari dan Mac 2023 selepas empat kenaikkan berturut-turut tahun lalu.
Menurut BNM, ekonomi global terus didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh serta pemulihan ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Katanya, bagaimanapun ekonomi global terus terjejas disebabkan tekanan kos dan kadar faedah yang lebih tinggi serta inflasi teras terus melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini meskipun inflasi keseluruhan terus menurun.
“Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat.
“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara termasuk berikutan tekanan yang berterusan dalam sektor perbankan,” katanya.
Mengulas lanjut BNM berkata, perkembangan terkini ekonomi Malaysia menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi berkembang selanjutnya pada suku pertama 2023 selepas mencatatkan prestasi kukuh tahun lalu.
Jelasnya, meskipun eksport dijangka menjadi sederhana, pertumbuhan pada 2023 akan didorong oleh permintaan dalam negeri selain perbelanjaan isi rumah kekal berdaya tahan, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang lebih baik memandangkan pengangguran terus menurun ke tahap sebelum pandemik.
“Ketibaan pelancong yang meningkat dijangka menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan serta projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan akan menyokong aktiviti pelaburan.
“Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan tanpa tanda-tanda pengetatan berlebihan yang mempengaruhi aktiviti penggunaan dan pelaburan,” katanya.
BNM berkata, seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan menunjukkan trend menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini disebabkan oleh faktor kos yang menurun.
Katanya, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023, berpurata antara 2.8 peratus hingga 3.8 peratus.
“Bagaimanapun, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi berikutan keadaan permintaan yang kukuh. Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada akan terus membendung sebahagian daripada tekanan inflasi yang meningkat.
“Imbangan risiko terhadap prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri termasuk mengenai subsidi dan kawalan harga, perkembangan pasaran kewangan serta harga komoditi global,” katanya. – UTUSAN










